Tujuh kes tipu dalam talian

MUKAH: Pengguna harus tahu mereka mempunyai hak untuk terus dilindungi walaupun melibatkan kes pembelian dalam talian terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mukah Salihin Den berkata, pihaknya menerima tujuh aduan melibatkan urusan pembelian dalam talian di kawasan Mukah pada tahun ini.

Katanya, daripada tujuh jumlah aduan tersebut, lima kes telah diselesaikan dan dua lagi masih dalam siasatan.

“Kes ini dikira selesai apabila pengguna mendapat kembali wang yang didakwa ditipu.

“Rata-rata kes melibatkan pembelian melalui laman sosial Facebook,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangunan Pentadbiran Baharu Mukah, Sabtu.

Salihin berkata, tiga kriteria utama yang disiasat dalam sesuatu kes pembelian dalam talian tersebut ialah nombor telefon yang digunakan suspek, nombor akaun bank serta akaun Facebook.

“Kami mempunyai unit khas siasatan dikenali sebagai Enforcement Command Center (ECC) untuk mengenal pasti pemilik akaun Facebook.

“Bagaimanapun, kami mengakui kes sedemikian mungkin memakan sedikit masa kerana ia memerlukan penyiasatan teliti sebelum sesuatu tindakan dapat diambil,” ujarnya.

Beliau meminta semua pengguna untuk lebih berhati-hati ketika melibatkan urus niaga atau pembelian dalam talian terutamanya melalui media sosial atau platform lain. “

Pesalah akan disabitkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 Seksyen 18 iaitu melibatkan iklan mengelirukan atau palsu.

“Jika disabit kesalahan, peniaga boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu,” tegasnya.