NEW DELHI: Tujuh Ketua Menteri enggan menghadiri Mesyuarat Majlis NITI Aayog yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri (PM) Narendra Modi di Delhi pada hari ini.
Ketua Menteri Rajasthan, Ashok Gehlot memberi alasan tidak sihat manakala Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan tidak memberi sebarang sebab bagi ketidakhadirannya.
Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal semalam menulis kepada PM untuk memaklumkan beliau memulaukan mesyuarat itu kerana membantah ordinan yang diperkenalkan oleh NITI Aayog baru-baru ini.
Menurutnya, dasar kerjasama federalisme di negara itu telah menjadi satu “gurauan”.
Ordinan kontroversi yang diperkenalkan oleh institusi bimbingan Parti Bharatiya Janata (BJP) itu membatalkan perintah Mahkamah Agung pada 11 Mei lalu yang memberi kuasa eksekutif kepada kerajaan Delhi ke atas birokrasi.
Ketua Menteri Punjab, Bhagwant Mann telah menulis nota kepada institusi itu yang didakwanya tidak mengambil berat tentang kepentingan Punjab, dan menyifatkan mesyuarat itu sebagai sekadar “sesi bergambar”.
Tiga lagi Ketua Menteri, K. Chandrashekar Rao dari Telangana, Mamata Banerjee dari Bengal Barat, dan Nitish Kumar dari Bihar, juga tidak menghadiri mesyuarat.
Ketiga-tiga pemimpin tersebut dilaporkan sedang berusaha untuk membentuk barisan pembangkang yang bersatu bagi menangani BJP dalam pilihan raya Lok Sabha pada tahun depan.
NITI Aayog adalah Institusi Kebangsaan bagi Transformasi India yang bertindak sebagai suruhanjaya perancangan negara.