Tujuh sekawan ditangkap leka main holo

KUCHING: Tujuh sekawan yang leka bermain judi holo di sebuah rumah di Kampung Tijirak, Siburan ditangkap polis pada Isnin.

Ketua Polis Padawan SuptAidil Bolhassan berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Siasatan dan Jenayah Padawan bersama-sama anggota dari Balai Polis Siburan sekitar jam 11.40 malam.

Menurutnya, kesemua suspek ketika serbuan mengaku sedang bermain judi holo tanpa menyedari kawasan tersebut dikepung oleh pasukan penguat kuasa.

“Hasil serbuan berjaya menahan tujuh suspek lelaki berusia 23 hingga 62 tahun.

“Kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan dibawa ke Mahkamah Kuching pada 4 Februari depan,” jelasnya semalam.

Tambahnya, beberapa barang turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Barangan berupa sehelai kain putih, sebuah kong, tiga biji dadu dan wang tunai sebanyak RM170 disita,” dedahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.