
KUCHING: Seorang tukang cat dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan memiliki 0.61 gram Methamphetamine.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Tiagu Ramen Alien, 33, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan atas pertuduhan di bawah Seksyen Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Zubaidah menetapkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dia menjalani hukuman penjara.
Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman denda RM3,600 atau tiga bulan penjara atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, kerana memiliki 0.61 gram Methamphetamine.
Tertuduh didapati memiliki dadah terbabit di sebuah hotel bajet di Batu tiga, di sini, sekitar jam 10 pagi, 17 Februari lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.