BAU: Seorang tukang masak wanita meninggal dunia selepas pengsan di rumahnya di Kampung Bidi, Jalan Krokong di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahma berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9 malam apabila mangsa berusia 34 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di lantai dapur.
“Mangsa kemudian dibawa oleh ahli keluarganya ke Unit Kecemasan Hospital Bau untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.09 malam oleh Pegawai Perubatan,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan awal oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bau mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Justeru, katanya, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.





