Tukar kepada pertanian moden

SARIKEI: Kerajaan Sarawak meluluskan projek-projek pertanian di Sarikei dan Bintangor untuk melonjak potensi Bahagian ini dalam pertanian moden. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu akan menggunakan kaedah ICT yang mempunyai pangkalan data tersendiri.

Inisiatif itu katanya, mampu menyerlahkan lagi potensi Sarikei sebagai pengeluar buah-buahan dan makanan Sarawak. “Projek ini dilengkapi dengan Internet of things (IoT) dan ICT yang dihubungkan secara terus dengan pasaran.

“Ia diperkenalkan sejak tiga tahun lalu untuk merancakkan ekonomi digital di negeri ini,” katanya kepada media ketika menghadiri Majlis Pecah Tanah Bangunan IAC di sini, semalam.

Abang Johari opitimis projek berimpak tinggi itu membawa manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang. “Kita lihat sendiri bagaimana sektor digital berperanan penting ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Malah, kita menyaksikan peningkatan permintaan terhadap perniagaan dalam talian,” katanya. Pembangunan Taman Agro Sungai Baji dengan keluasan 314 ekar akan dilaksanakan di kawasan 5.2 kilometer dari Bandar Sarikei.

Kerja-kerja penyediaan  tapak dan infrastruktur asas bermula pada Januari 2019 dengan melibatkan kerja penimbusan tapak untuk Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) dan pembinaan jalan masuk ke kawasan projek dari Kampung Susur Jambu.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, melalui aktiviti pertanian, Taman Agro Sungai Baji akan menjadi tempat tarikan pelancongan terbaharu Sarawak.

“Projek ini akan menjadi pelengkap kepada Agropolitan Bukit Sadok di Betong dan Hab Halal Tanjung Manis sebagai pengeksport makanan serantau. “Saya berharap rakyat Sarikei memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan ini,” katanya.

Suara Sarawak