Tukar mentaliti amatur kepada profesional

Legenda bola sepak kebangsaan era 70-an, Datuk Abdul Shukor Salleh, 74, menyarankan agar pemain bola sepak yang ada di negara ini mengubah mentaliti daripada tahap amatur kepada tahap profesional.

Abdul Shukor yang terkenal dengan julukan ‘Mr Cool’ ketika eranya berkata setiap pemain perlu sentiasa meningkatkan usaha dan kemahiran untuk lebih cemerlang dalam arena bola sepak demi kebaikan diri, dan bukannya bergantung kepada jurulatih ketika latihan mahupun gaji semata-mata.

“Pemain sekarang perlu ubah mentaliti tersebut, bukan lagi bergantung kepada jurulatih sahaja atau duit (pendapatan) semata-mata…kena ada usaha daripada diri sendiri supaya lebih menyerlah…ini untuk kebaikan diri dan pasukan.

“Dengan ini, tidak mustahil arena bola sepak negara akan lebih menyerlah seperti zaman (pasukan kebangsaan) dulu-dulu,” katanya kepada pemberita di kediamannya, semalam.

Terdahulu, Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang (Ex-Penang) yang diketuai Presidennya, Radzuan Putah menyantuni Abdul Shukor sebagai menghargai jasa beliau dalam arena bola sepak negara.

Menurut Abdul Shukor, beliau sangat merindui rakan-rakan seperjuangan antaranya allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, allahyarham Datuk Mohd Bakar dan lain-lain yang sama-sama menaikkan nama pasukan di persada negara mahupun antarabangsa.

“Memang rindu dengan kawan-kawan…tapi saya berharap pasukan Pulau Pinang dapat kembali menyinar sebab saya lihat prestasi mereka ketika memberi saingan dalam liga adalah hebat ketika ini,” katanya yang bakal menghasilkan sebuah buku biografi diri dan rakan sukan lain dalam tempoh terdekat.

Beliau yang sinonim dengan jersi nombor 6 masih aktif di belakang tabir selaku Penaung Kelab Penang Kickers, dan antara pencapaian terbaiknya ialah membantu skuad Pulau Pinang muncul juara Piala Malaysia pada 1974 dan juara Liga Malaysia pada 1982.

Sementara itu, Radzuan berkata persatuan Ex-Penang menyeru kepada mana-mana bekas pemain negeri untuk menyertai persatuan tersebut bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Tujuan utama persatuan ini adalah untuk menjaga kebajikan bekas pemain sebab kita tidak tahu bagaimana keadaan mereka sekarang…jika mereka ditimpa kesusahan kami akan cuba sedaya mungkin untuk membantu daripada segi kebajikan,” katanya.

Turut hadir ketika kunjungan tersebut ialah anggota Ex-Penang Penolong Ketua Jurulatih Penang FC; Manzoor Azwira Abdul Wahid, Kamal Khalid, Fadzil Ismail, Jelani Wilastra, S. Muraliraj dan juga Ahmad Fauzi Ibrahim.

Selain Abdul Shukor, Ex-Penang turut menyantuni seorang lagi bekas pemain kebangsaan Datuk M.Kuppan di Bagan Jermal, Butterworth.- Bernama

 

Suara Sarawak