KUCHING: Seramai 50 orang artis daripada Kelab Peminat P.Ramlee Sarawak (KPPRS) membuat persembahan pada program Malam Bulan Di Pagar Bintang yang berlangsung di sini, malam tadi.
Program tersebut turut menyaksikan sebanyak 14 buah lagu dipetik daripada enam filem arahan dan lakonan seniman agung Allahyarham P.Ramlee dipersembahkan kepada tetamu yang hadir.

Antaranya adalah filem Anakku Sazali dan Semerah Padi pada tahun 1956; Sarjan Hassan (1958); Musang Berjanggut dan Pendekar Bujang Lapok (1959); serta Ibu Mertuaku pada tahun 1962.
Filem-filem tersebut juga telah dijadikan tajuk kupasan yang dibincangkan pada seminar yang dianjurkan beberapa hari lalu.
Persembahan yang berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) itu berlangsung tanpa henti bermula pada sekitar jam 8.30 hingga 9.30 malam, turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut memeriahkan program,
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki; Presiden KPPRS merangkap Sasterawan Negeri Sarawak Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah; Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta wakil yang lain.