ARTIKEL

Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

Tun Taib perancang, arkitek hebat permodenan Sarawak, kata Uggah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Mantan Yang di-Pertua Negeri, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan perancang induk dan arkitek hebat permodenan Sarawak.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bekas Ketua Menteri Sarawak itu sememangnya memainkan peranan sangat penting dalam mentadbir dan memacu kejayaan negeri ini.

“Tun Taib merupakan individu penting serta perancang induk dan arkitek yang hebat dalam pembangunan Sarawak moden, bersatu dan progresif.

“Visi, kemahuan dan komitmen penuh beliau dalam memodenkan serta membangunkan Sarawak seperti yang kita nikmati hari ini, tidak akan dilupakan dan dikenang sampai bila-bila.

“Selain itu, Tun Taib juga amat membanggakan kerana berjaya memimpin negeri ini melalui dunia politik yang saling hormat-menghormati dan kerjasama erat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, figura ternama negara itu juga sosok penting kepada keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

“Ketokohan beliau itu juga telah memainkan peranan penting dalam menjamin keharmonian serta perpaduan yang kita nikmati di Sarawak hari ini.

“Sehubungan itu, kami ingin menzahirkan ucapan ttakziah kepada seluruh keluarga Tun Taib,” ujarnya.

Allahyarham Tun Taib, 87, yang pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014, seterusnya sebagai Yang di-Pertua Negeri sehingga Januari lalu menghembuskan nafas terakhir di Kuala Lumpur sekitar jam 4.40 pagi tadi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU