KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut berdukacita atas kejadian kemalangan helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, semalam.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah menzahirkan ucapan takziah serta rasa simpati yang sedalam-dalamnya kepada seluruh ahli keluarga dan insan tersayang kepada lima mangsa insiden tersebut, iaitu Kapten Zainol, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Alexson Adit, Debra Moset dan Jessie Paya.
Menurutnya, kehilangan mereka amat dirasai, lebih-lebih lagi apabila empat daripada mangsa merupakan petugas kesihatan yang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak.
“Tugas yang mereka laksanakan menerusi Perkhidmatan Doktor Udara merupakan satu khidmat yang amat besar nilainya kepada rakyat Sarawak, khususnya masyarakat pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan berkenaan bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan.
“Pengorbanan dan khidmat bakti mereka akan sentiasa dikenang. Mereka pergi ketika melaksanakan tanggungjawab dan amanah demi memberikan bantuan serta perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah juga merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan, pasukan bomba dan penyelamat, petugas kesihatan, pihak berkuasa serta masyarakat setempat yang terlibat dalam operasi di lokasi kejadian.
Untuk rekod, helikopter BO-105 yang membawa lima orang, termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, semalam.
Helikopter tersebut juga mengendalikan penerbangan FDS ke pedalaman Sarawak.






