KUCHING: Setiap seorang, termasuk golongan belia 18 tahun ke atas perlu turun menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya kali ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali memberitahu hal ini kerana semua pengundi baharu sudah berdaftar secara sendiri di dalam sistem.

“Justeru, pengundi baharu khususnya belia perlu prihatin, ambil tahu kawasan untuk mengundi melalui sistem dalam talian.
“Saya pohon agar semua turun padang untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas merasmikan Majlis Penangguhan KASUS 2022, di Hotel Penview, di sini, semalam.
Sementara, beliau turut mendedahkan kepada wartawan bahawa dirinya juga tidak tahu bila PRU ke-15 akan diadakan.
“Bagaimanapun, kita di peringkat akar umbi sentiasa bersedia untuk berdepan PRU bila-bila masa.
“Malah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga bekerja keras untuk memastikan kita boleh menang dengan bergaya kelak,” ujarnya.