ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

Tunggang ‘kapal padang pasir’ pemandangan di Qatar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DOHA: Selepas kira-kira dua minggu saingan Piala Asia pertama pasca pandemik COVID-19 membuka tirai di sini, jumlah pasukan bertanding semakin kecil dan sebahagian peminat sudah mengemas bag pulang ke destinasi masing-masing.

Namun, masih banyak yang boleh dilihat dan dilakukan bagi mereka yang masih berada di sini antaranya pemandangan yang sangat unik iaitu sekumpulan pengawal menunggang unta di hadapan Amiri Diwan iaitu pusat pemerintahan Qatar atau juga dikenali sebagai istana kerajaan Qatar.

Berlatarbelakangkan langit biru dan deretan pencakar langit bandar Doha berdiri megah, pengawal istana menunggang unta yang paling istimewa dan megah di laman istana pada sebelah pagi dan petang itu, simbolik meronda kawasan istana bagi melindungi Emir mereka.

Ia juga sebagai pertunjukan warisan dan tradisi Qatar.

Unta adalah haiwan paling penting bagi Qatar yang menjadi sebabagian daripada warisan dan tradisi negara itu kerana ia digunakan sebagai mod pengangkutan selama bertahun-tahun.

Unta juga dikenali sebagai ‘kapal padang pasir’ kerana ia adalah satu-satunya haiwan yang boleh membawa muatan barang dan mengembara untuk jangka masa yang lama di padang pasir tanpa atau dengan jumlah air dan makanan yang sangat kecil.

Terdapat kandang di Souq Waqif iaitu salah satu tempat tumpuan pelancong di sini, di mana unta-unta pengawal istana ditempatkan hampir sepanjang hari dan dikawal oleh penjaga bertauliah.

Di sebalik status unta tersebut, pelancong masih boleh melihat haiwan itu secara dekat serta mengambil gambar.

Saingan Piala Asia di sini sudah memasuki peringkat pusingan 16 terbaik yang akan bermula esok dengan pasukan tuan rumah yang juga juara bertahan antara pasukan yang akan meneruskan perjuangan selain Jepun, Korea Selatan, Iran, Arab Saudi dan dua wakil Asia Tenggara, Thailand dan Indonesia.

Malaysia yang membuat penampilan pertama di pentas Piala Asia di sini sejak menjadi tuan rumah bersama pada 2007 terkandas di pusingan awal.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menamatkan saingan Kumpulan E di kedudukan tercorot selepas tewas 0-4 di tangan Jordan, 0-1 kepada Bahrain sebelum mencatat keputusan seri 3-3 menentang juara dua kali Korea Selatan. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU