PEGAWAI tinggi North Atlantic Treaty Organisaton (Nato) pernah mengatakan: “Bukan kita, tapi musuh kita yang menentukan garis waktu”.
Kenyataan itu merujuk kepada pecahnya Perang Eropah dikaitkan dengan tindak-tanduk Rusia melanggar Ukraine sejak 24 Februari 2022. Kenyataan itu benar dilihat dari banyak segi.
Nato sudah bertahan sekian lama dan tidak bubar-bubar di Eropah sejak penubuhannya 1949, bawah telunjuk AS menentang negara blok Kesatuan Soviet pimpinan Rusia setelah berakhir Perang Dunia Kedua.
Nato ditubuhkan dengan niat, menentang Rusia dan Kesatuan.
Bahkan, sudah ranap Kesatuan Soviet, Rusia masih diletakkan dalam kandang sebagai musuh.
Sehingga melewati Perang Dingin membawa kepada pecahnya Tembok Berlin 1989 ketika zaman kebangkitan Internet, bahkan memasuki era AI kini.
Teguh di Eropah, sejak Perang Dingin, Nato memikul agenda menjadikan Rusia sebagai musuh.
Malah tidak pernah puas, Nato terus menerima negara baharu di Eropah sebagai anggota.
Daripada 12 negara semasa penubuhannya sehingga Nato mempunyai 32 anggota.
Negara bekas Perjanjian Warsaw dan Blok Soviet: Hungary, Republik Czech, Albania, Crotia, Estnonia, Latvia, Lithunia, Monte Negro, Romania, Slovakia dan Poland menganggotai Nato. Malah, Nato mempunyai ‘kesatuan sahabat’ seperti Australia, Jepun dan Algeria.
Jelas, bahawa pecahnya Perang Ukraine itu sendiri asasnya kerana Ukraine berniat menjadi anggota Nato, ertinya Ukraine sanggup meletak Rusia sebagai rival.
Garisan Terakhir Tampaknya itulah kekesalan Moscow setelah ia berkali-kali memberi ingatan — jangan lagi pernah luaskan anggota Nato hingga sampai ke garisan terakhir — di depan pintu Rusia.
Kedudukan Ukraine berlainan dengan kedudukan negara bekas Kesatuan Union kerana negara itu bersempadan langsung dengan Rusia.
Bahkan, ekstemnya bagi Rusia, Ukraine negara kedua terbesar dalam Kesatuan Soviet selepas Rusia sendiri, masih dianggap sebahagian daripada wilayahnya dan masih dianggap ancaman terbesar Rusia.
Menurut sejarah, Kyiv sendiri pernah menjadi ibu negara Kesatuan Soviet dahulu.
Melihat tegarnya Rusia “bermain pelbagai jenis senjata” di medan juang, Nato mula mengambil takah baharu bahawa ia harus bersedia kerana konflik dapat muncul bila-bila masa.
Naif atau pura-pura, Nato sebelum ini mengaku belum menyusun rancangan terperinci mempertahankan diri daripada serangan Rusia sejak akhir Perang Dingin.
Seharusnya, invasi besarbesaran Putin ke atas Ukraine yang kini memasuki lebih 465 hari, membuat Nato berfikir, mengerah 32 anggotanya meningkatkan kekuatan dan logistik.
Atau seperti dikatakan banyak pihak, Rusia tidak takut mendepani Nato, tetapi Natolah yang gementar berdepan dengan Kremlin sejak Perang Dingin.
Nato mungkin bersembunyi di sebalik bantuan senjata yang dihulurkan oleh sekutunya AS di Barat buat Ukraine.
Bukan rahsia, Kyiv berada di bawah telunjuk AS dan AS meraih manfaat daripada krisis berlanjutan ini.
Pegawai penting Nato pernah mengatakan: “Kami siap bertempur malam ini” menyelak rahsia strategi Nato yang memang tidak perlu disembunyikan. Api Kemarahan Tahun lepas, Nato menempatkan 300,000 tentera dalam siaga tinggi, memenuhi permintaan Ukraine negara yang baru bercita-cita menyertai Nato — untuk menuang minyak bagi menambah api kemarahan Kremlin.
Dengan senjata dron, hipersonik, dan perang dunia siber menghadirkan tantangan baharu buat Nato — sudah tentu ancamannya sangat berbeza sama sekali dengan ancaman Perang Dingin.
Pemimpin di negara sekutu Nato mengatakan senario terburuk perang Nato-Rusia mungkin saja terjadi dek kerana jurang antara dunia Barat dengan Moscow makin melebar di sebalik Perang Kremlin di Ukraine.
Rusia pula tidak naif. Rusia tidak memerlukan pembocoran dokumen berkaitan strategi, kerjasama atau bantuan ketenteraan atau senjata oleh Nato dan AS.
Invasi Rusia ke atas Ukraine itu sendiri merupakan tindak balas jelas bagi menjawab kepada campur tangan Nato dan AS ke atas bekas sekutunya itu.
Putin sendiri tidak mempedulikan langsung sekatan Barat yang secara jelas memberi kesan besar ke atas ekonomi Rusia.
Ketika ada dokumen menyebut sehingga 71,500 tentera Ukraine dilaporkan tewas dalam pelanggaran Rusia itu, Ukraine pula menuding lebih 200,000 tentera Rusia terkorban.
Tiada siapa peduli tentang kebenaran dakwaan angka tersebut dengan Kremlin mengatakan, hanya sekitar 6,000 tentera Rusia tewas dalam misi menguasai Ukraine itu.
Membaca gerakgeri Nato, China memperingatkan jika Nato terlibat dalam perang di Ukraine, akan muncul Perang Dunia di Eropah… Kata-kata yang dituturkan China ini sangat dalam maksudnya.
Sengketa Ukraine pula berharap Nato dan AS sedia menyebelahinya untuk berperang dengan Rusia, padahal Washingtonlah yang akan terus menggunakan Kiev untuk melemahkan Moscow.
Sudah hampir setahun setengah sengketa meletus, Rusia kini galak menyerang timur Ukraine dekat Bakhmut, Shakhtarsk, Avdiivka, Shakhtarsk Vuhledar dan Donetsks.
Di mata AS, Perang Putin di Ukraine menjadi kegagalan strategis kerana mengurangkan kekuatan tenteranya, merosakkan ekonomi dan diplomatik serta pengaruh Rusia bertahun-tahun ke depan.
Namun, bagi Putin, tindakannya sebagai yang terakhir dan sangat siginifikan dalam menentukan survival Rusia seterusnya.
Ya, ada satu hal yang dapat mempercepat tercetusnya Perang Nato-Rusia; iaitu gejolak Ukraine menjadi anggota ke-33 Nato dan gelojohnya Nato menerima Ukraine menjadi anggota baharunya.
Nato menyindir Rusia bahawa ia tidak punya hak menolak Ukraine bergabung dengan bloknya.
Sebabnya, semua sekutu Nato sudah bersetuju Ukraine menjadi anggota blok tersebut, seperti dikatakan Nato menjelang pertemuan informal para menteri luar Nato di Oslo, Norway pada 1 Jun lepas.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sudah menyambut baik sokongan Nato itu dan berharap Kyiv segera dapat bergabung.
Ukraine digula-gulakan; jika bergabung dengan pakatan itu, Ukraine dilindungi klausul pertahanan kolektif Pasal 5 yang mewajibkan semua anggota membantu mempertahankan anggota lain jika diserang.
Seperti dikatakan sebelumnya, Rusia sudah memperingatkan tindakan provokatif dan campur tangan negara Barat terhadap urusan Rusia akan dinilai sebagai seruan perang terhadap Moscow.
Dunia menyedari, setakat ini, tiada satu pun negara anggota Nato membantu Ukraine menghadapi serangan Rusia yang memiliki senjata nuklear meluas itu.
Dan Ukraine sedar akan hal ini!