Tuntut komitmen, keikhlasan Petronas

PELBAGAI perdebatan diwacanakan membincangkan kewajaran Sarawak mengenakan cukai lima peratus terhadap hasil jualan produk petroleum yang beroperasi di negeri ini. Cukai lima peratus ini dikenakan terhadap syarikat yang menerokai minyak dan gas di Sarawak.

Setakat ini, syarikat minyak dan gas dari negara asing seperti Shell dan Murphy Oil telah melangsaikan cukai masing-masing kecuali Petronas yang disifatkan sebagai ‘bengkeng’ oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Petronas bagaimanapun kelihatan ‘senyap’ apabila isu berkenaan diungkit namun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang lebih banyak mengeluarkan kenyataan menerusi media.

Guan Eng sebelum ini menyatakan cukai terbabit tidak wajar kerana dikhuatiri akan meningkatkan kos dan pelabur mungkin angkat kaki untuk berniaga di Malaysia.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa pengenaan cukai terbabit ialah hak Sarawak berdasarkan Pelembagaan Persekutuan. Pelaksanaan cukai berkenaan termaktub dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 yang diluluskan menurut Artikel 95B(13) Perlembagaan Persekutuan.

Cukai Jualan

Kita perlu sedar bahawa apa-apa cukai jualan yang dikenakan oleh undang-undang negeri di Sabah atau Sarawak adalah antara perkara yang disebut dalam Senarai Negeri dan bukan dalam Senarai Persekutuan.

Oleh itu, pihak berkuasa perlembagaan Badan Perundangan Negeri meluluskan undangundang mengenai SST tidak bergantung kepada Perkara 96.

Ini ialah hak Negeri untuk meluluskan undang-undang mengenai SST yang diperbadankan ke dalam Perlembagaan Persekutuan menurut saranan dalam perenggan 24 (1) Bab III Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang merupakan Lampiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tindakan mempersoalkan hak Negeri untuk mengenakan SST (iaitu hasil yang diberikan kepada Negeri di bawah Perkara 7 Bahagian V dalam Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan) adalah menghina MA63 dan undang-undang yang diperuntukkan secara nyata serta tertinggi mengenai sumber pendapatan Sarawak.

Petronas tidak ada pilihan kecuali perlu bersetuju membayar lima peratus cukai jualan terhadap produk petroleum. Hasil pendapatan persekutuan pada tahun ini ialah RM231 bilion. Apabila cukai lima peratus dikenakan di Sarawak terhadap produk petroleum, perolehan anggarannya ialah RM3 bilion.

Ini bermaksud, Kerajaan Persekutuan hanya mengorbankan RM3 bilion daripada hasil pendapatan berjumlah RM231 bilion, malah jumlah ini kurang 1.5 peratus perolehannya tahun ini. Jika Petronas melunaskan tanggungjawabnya ini tentu akan memberi nafas lega kepada rakyat Sarawak.

Pelunasan cukai berkenaan selari dengan konsep kemakmuran bersama yang diuar-uarkan oleh Kerajaan PH.

Setidak-tidaknya, wang berkenaan dapat digunakan untuk menyediakan banyaki kemudahan asas terutama di luar bandar dan kawasan pesisir Sarawak.

Rakyat Sarawak harus ingat yang selama ini kita merupakan penyumbang utama kepada tabung persekutuan iaitu RM660 bilion daripada minyak dan gas tidak termasuk Gas Cecair Asli (LNG) apabila keuntungan dianggarkan melebihi RM40 bilion sejak 1976.

Kemakmuran Bersama

Demi kemakmuran bersama dan selari dengan semangat Perjanjian Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan, maka Petronas perlu berjiwa besar dengan tidak melengah-lengahkan lagi tanggungjawabnya melunaskan cukai lima peratus.

Hanya dengan itu, kedua-dua pihak dapat bergerak ke hadapan dan tidak terusterusan dibelit oleh isu berkenaan. Ini menuntut kejujuran dan komitmen di pihak Kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab langsung terhadap syarikat gergasi itu.

Suara Sarawak