Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Turkiye, gempa dan 50,000 kematian

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KEMATIAN dianggarkan mencecah 50,000 dalam siri gempa bumi yang melanda bumi Turkiye dan Syria sejak tiga minggu lalu. Terkini pada Isnin, apabila gempa susulan berkekuatan 5.6 pada skala Richter berpusat di kedalaman 10 kilometer di wilayah Yesilyurt, Malatya meranapkan 29 bangunan. Menurut pihak berkuasa, gempa ini menyebabkan seorang maut, dan 119 mangsa cedera.

Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), Yunus Sezer berkata, pasukan mencari dan menyelamat diaktifkan di lima bangunan bagi mendapatkan mangsa- mangsa yang terperangkap. Penulis kini berada di Turkiye sejak Isnin lalu. Dalam tempoh 24 jam yang berlalu, dua gegaran bermagnitud lebih 1.5 telah direkodkan.

Dalam tempoh tujuh hari, 14 gegaran dicatat; 284 gegaran dalam tempoh 30 hari; dan 388 gegaran dalam 365 hari. Gegaran terburuk bermagnitud 7.8 pada skala Richter menggoncang selatan Turkiye selama 80 saat pada jam 4.17 pagi, 6 Februari lalu. Gempa terbesar dalam sejarah Turkiye tersebut dilaporkan berpusat di Daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras. Menurut pertubuhan sukarela Supporttolife, gempa tersebut tersebut turut menggoyang Adiyaman, Kilis, Osmaniye, Gaziantep, Malatya, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Hatay dan Elazig. Seramai 13.5 juta penduduk, termasuk dua juta pelarian Syria terjejas.

Ia turut menerbitkan ratusan gempa susulan termasuk yang bermagnitud 7.5 pada skala Richter, sembilan jam selepas gegaran utama, yang menyaksikan banyak bangunan yang runtuh secara terduduk. Setakat 24 Februari, Kerajaan Turkiye dan UNOCHA merekodkan angka rasmi kematian seramai 42,310 orang, manakala mereka yang cedera sekitar 108,368 orang.

Ini tidak termasuk mereka yang masih terperangkap dan hilang, kerana dianggarkan lebih 173,000 rumah musnah dalam tragedi ini, yang membabitkan 11 wilayah. Sehingga 23 Februari, sejumlah enam pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari empat negara termasuk Malaysia berada di kawasan “ground zero” untuk membantu mencari mangsa yang masih terselamat.

Cabaran pasukan SAR ini cukup besar kerana kawasan liputan bencana ini cukup besar. Mereka tidak boleh berputus harap dan sentiasa bersemangat, biarpun tragedi ini kini menghampiri angka sebulan — satu angka mustahil untuk melihat masih ada mangsa yang bernyawa, dalam keadaan cuaca sejuk. Pasukan penyelamat perlu menjadikan kejayaan menyelamatkan Mustafa Avci, 33 tahun daripada runtuhan hospital selepas 261 jam terperangkap sebagai pembakar semangat.

Mustafa baru tiga jam menjadi ayah di Hospital Academy, Antakya sebelum gempa berlaku. Ketika kejadian, isteri, anaknya yang baru lahir dan ibu mentuanya berada di tingkat empat hospital. Mereka bagaimanapun selamat Mustafa yang ketika itu keluar untuk membeli biskut dari kantin terperangkap di bahagian bawah bangunan yang runtuh, bersama- sama seorang lagi mangsa, Mehmet Ali Sakiroglu, 26 tahun.

Di daerah yang sama, pasukan penyelamat menemui seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang masih hidup, selepas mengalihkan 17 mayat di satu kawasan runtuhan bangunan. Kejayaan menemui Osmane ternyata menyuntik semangat baharu kepada pasukan penyelamat yang hampir putus harap, selepas 260 jam mencari dengan sia-sia, kata Osun Tokun, yang mengetuai pasukan SAR.

Di daerah Defne, wilayah Hatay, Hakan Yasinoglu, 45 tahun berjaya ditemui selamat selepas 278 jam terperangkap. Turut ditemui, Neslihan Kilic, 29 tahun, yang merupakan ibu kepada dua anak di kawasan runtuhan di Kahramanmaras. Berdasarkan maklumat rasmi, sejumlah 865,000 mangsa telah berjaya ditempatkan di dalam khemah, manakala 23,500 lagi ditempatkan di dalam kontena sementara.

Masih banyak lagi bantuan diperlukan oleh mereka ini untuk meneruskan kehidupan, apatah lagi ketika ini, kawasan yang terjejas itu berhadapan cuaca yang sangat sejuk. Bank Dunia meramalkan anggaran kemusnahan mungkin mencecah USD$34 bilion dan akan menjadikan ramai dalam kalangan penduduk sebagai gelandangan, tanpa kediaman dan pakaian.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Erth Al-Mustafa, Shaykh Imran Angulia Al-Hafidz turut menyuarakan kebimbangan bahawa amat sukar untuk mangsa memulakan kembali kehidupan mereka. “Ekonomi di kawasan ini amat sederhana dan susah. Dengan situasi yang melanda ini, tidak dapat digambarkan bagaimana mereka hendak memulakan semula kehidupan bermula dari kosong.” Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika berada di Hatay pada Isnin lalu mengumumkan langkah awal untuk membangunkan kawasan yang terjejas teruk.

Ini termasuk membina semula kawasan penempatan, perniagaan, pertanian, industri,serta kawasan kebudayaan dan warisan sejarah yang terjejas. Kawasan kediaman katanya akan dibina jauh dari kawasan rendah dan tanah tinggi, danantara perancangan awal ialah membangunkan Antakya, Iskenderun dan Arsuz baharu.

Bermula minggu depan katanya, 44,770 rumah akan dibangunkan di Malatya; 9,550 (Osmaniye); 6,000 (Diyarbakır); 3,000 (Şanlıurfa) dan 3,750 (Elazığ). Sebanyak 2,500 lagi di Adana; 250 (Kilis); ,40,426 (Hatay); 45,067 (Kahramanmaraş); 25,882 (Adıyaman) dan 18,544 di Gaziantep. Ini perjuangan baharu Erdogan yang akan berhadapan dengan pilihan raya penggal baharu sebagai Presiden pada Jun depan.

Jika beliau berjaya mengatasinya, ia tiket besar untuk beliau kekal memerintah dan pasti akan diingati. Perlu diingat, turut terjejas dalam gempa ini ialah sebahagian daripada wilayah Syria, yang sebelum ini terjejas oleh perang saudara. Tidak banyak laporan diterima dari kawasan tersebut, namun banyak berita kecil menyatakan keadaan yang tidak kurang teruk.

Belum ada pasukan penyelamat antarabangsa yang dikatakan memasuki negara itu, kerana mereka khuatir akan ancaman keselamatan dari hujung senjata. Namun pasukan bantuan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNAID) dikatakan telah mengaktifkan 143 trak dari Turkiye sejak 9 Februari menuju ke kawasan terjejas. Trak-trak ini dilaporkan membawa khemah, tilam, selimut, pakaian sejuk dan kit ujian kolera, peralatan keperluan asas, dan makanan.

Mereka memasuki negara tersebut melalui pintu sempadan Bab al-Hawa dan Bab al-Salam. Pada masa yang sama, sekurang-kurangnya 1,522 mangsa yang maut dalam gempa 6 Februari, dalam kalangan pelarian Syria, telah dibawa balik ke negara asal mereka untuk tujuan pengebumian. Dan pintu sempadan kedua-dua negara telah dibuka untuk tujuan tersebut.

Penulis kini mengikuti rombongan Yayasan Erth-Al- Mustafa Malaysia di Istanbul dan Adiyaman, Turkiye bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat gempa bumi Turkiye. * Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Berita Berkaitan

E-Paper

22 Mac 2023

Berita Terbaru