Turunkan had umur jadi Adun

KUCHING: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2020 untuk memberi definisi jelas makna perkataan penduduk di negeri dan menurunkan kelayakan umur Adun yang dipilih di bawah Artikel 16 Perlembagaan Negeri.

Ketika membentangkan RUU tersebut pada Selasa Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berdasarkan Artikel 16 Perlembagaan Negeri kelayakan umur rakyat Sarawak yang dipilih sebagai Adun diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

“Ini selaras dengan Seksyen 5 Bahagian 1 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan (FC) yang dipinda.

“Bagaimanapun, definisi itu tiada dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Perlembagaan Negeri,” katanya pada Persidangan Dun, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, seperti yang dijamin oleh Perjanjian Malaysia 1963, Artikel 161E (4) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], Pihak Berkuasa Negeri diberi kuasa untuk menentukan perkara yang berkaitan dengan kerakyatan dan hak masuk ke dalam negeri.

“Oleh itu, pindaan ini bagi memasukkan definisi Penduduk di Negeri untuk memperincikan kelayakan penduduk di negeri ini dalam Perlembagaan Negeri.

“Pindaan pada definisi penduduk di negeri berkaitan dengan Seksyen 71 Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], untuk memastikan maksud itu selaras peruntukan mengenai orang yang diperlakukan sebagai milik negeri Malaysia Timur seperti yang diperuntukkan dalam Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155],” ujarnya.

Sementara itu, mengenai cadangan pindaan RUU untuk menurunkan kelayakan umur wakil rakyat Adun, Abdul Karim berkata, itu untuk memastikan ia selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang diluluskan oleh Parlimen pada 16 Julai 2019 dan berkuat kuasa pada 10 September tahun lalu antara lain meminda kelayakan umur orang untuk dipilih sebagai wakil rakyat 21 tahun kepada 18 tahun.

“Artikel 71 (4) Perlembagaan Persekutuan mengkehendaki Perlembagaan dari mana-mana negeri memiliki peruntukan hampir sama supaya selaras dengan Seksyen 5 Bahagian 1 Jadual Kelapan FC dan dianggap penting,” katanya.

Abdul Karim berkata, perlu dilakukan pindaan kepada Perkara 16 Perlembagaan Negeri untuk melaksanakan peruntukan penting agar selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Suara Sarawak