Turunkan harga rumah

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) mahu Kerajaan Sarawak membuka lebih banyak tanah untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan dalam usaha menurunkan harga rumah.

Pengerusi Sheda Cawangan Kuching Sim Kiang Chiok berkata, langkah untuk mengurangkan kos rumah adalah dengan menukar lebih banyak tanah kepada zon campuran dalam lingkungan 20 kilometer dari kawasan bandar
dan 10 kilometer dalam bandar.

Menurutnya, kos utama membina rumah boleh dibahagikan kepada empat elemen iaitu tanah, bangunan,  pematuhan atau peraturan kerajaan dan bank atau faedahnya.

“Maka, Cuepacs membuat kajian itu untuk memohon Kerajaan Persekutuan dan kerajaan di peringkat negeri mengurangkan kos tanah serta dibangunkan kawasan untuk membuat rumah mampu milik kepada ahlinya,” katanya semalam.

Justeru itu, Kiang Chiok memberitahu, Sheda turut menyarankan kepada Kerajaan Sarawak agar membina lebih banyak jalan raya dan jambatan di kawasan baharu yang sesuai dijadikan sebagai pembangunan perumahan.

“Kerajaan dalam beberapa tahun lalu telah melonggarkan kepadatan rumah yang dibina bagi setiap ekar daripada lapan kepada sepuluh unit dan 24 kepada 30 unit bangunan hak milik strata.

“Tahun lalu turut menyaksikan skim khas di bawah pemaju swasta apabila membangunkan Rumah Sri Pertiwi dengan 12 unit per ekar dan 50 unit bangunan hak milik strata serta harga siling dikawal tidak lebih daripada RM290,000 (900 kaki persegi),” jelasnya.

Tambahnya, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga giat membangunkan rumah mampu milik di seluruh negeri pada harga siling di bawah RM100,000 seunit.

“Kementerian itu mengumumkan untuk membina 2,400 unit rumah mampu milik di seluruh negeri.

“Pelbagai kos yang terlibat apabila membina rumah dan bangunan seperti rangkaian utiliti, kawasan terbuka, lesen, permit pengiklanan serta pelbagai syarat,” ujarnya.

Katanya lagi, kos turut melibatkan tenaga kerja dan cukai yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

“Kekuatan Ringgit Malaysia juga mempengaruhi kos pembinaan terutamanya bagi bahan dan jentera yang diimport.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan melonggarkan syarat pembelian rumah bukan hanya bergantung kepada pendapatan terbukti malah sampingan,” kata Kiang Chiok.

Beliau turut memberitahu, pemaju akan membina rumah dengan mengekalkan keuntungan ekoran pelbagai sektor pasaran di tahap berbeza.

“Di Malaysia, kita mengenal pasti golongan berpendapatan rendah dan sederhana masing-masing menyumbang 40 peratus dan segmen teratas T20.

“Kebanyakan pemaju swasta fokus untuk membina rumah bagi golongan M40 dan T20 di tanah seluas 10 ekar manakala kerajaan mensyaratkan mereka membangunkan 10 ke 30 peratus rumah bagi B40,” ujarnya.

Terdahulu, kajian Cuepacs pada September tahun lalu mendapati ramai kakitangan kerajaan masih tidak memiliki rumah sendiri.

Presidennya Adnan Mat berkata, sebanyak 2,817 kakitangan awam masih tidak mempunyai rumah sendiri berdasarkan 5,308 responden.

Katanya, kajian itu turut menunjukkan 1,333 penjawat awam atau 27.7 peratus merancang untuk membeli rumah mampu milik, membina rumah di atas tanah sendiri (22.3 peratus) dan rumah teres setingkat (19.3 peratus).

Tambah Adnan, majoriti responden juga mengakui kelayakan pinjaman mereka sehingga RM200,000 yang mewakili 42 peratus, diikuti RM270,000 (21.6 peratus).

Suara Sarawak