TVET pemacu utama melahirkan tenaga kerja mahir tempatan

KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang berkemahiran tinggi.

Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, dalam berdepan canaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), keperluan tenaga mahir di Sarawak memungkin negeri ini terus kekal berdaya saing dengan tenaga kerja luar sama ada tempatan mahupun asing.

Katanya, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Di Sarawak, dasar kerajaan adalah mengutamakan peluang pekerjaan kepada rakyat sendiri.

“Melalui TVET ini, kita akan mampu memenuhi lompang-lompang keperluan dalam dunia pekerjaan berasaskan kemahiran,” jelasnya.

Dr Hazland dan Mohd Sahran menyaksikan KPM dan pihak industri menandatangani MoU dan pertukaran dokumen.

Ucapan beliau dibacakan oleh Adun Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni pada perasmian Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pihak Industri di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sebanyak 10 syarikat menandatangani MoU tersebut dan turut disaksikan oleh Pengarah Kolej Vokasional Matang, Mohamad Sahran Amin .

Tambah Naroden, melalui TVET, pelbagai kelebihan diberikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pendidikan tersebut melalui pendedahan kepada situasi kerja sebenar.

”Mereka mempelajari bidang mereka dengan memberi tumpuan secara praktikal dan ini membolehkan mereka bersedia dan mampu menyesuaikan diri dengan segera apabila memasuki alam pekerjaan.

“Ini secara tidak langsung mendedahkan pelajar kepada peralatan dan mesin dan memastikan mereka mempunyai kemahiran yang sesuai dalam bidang pekerjaan yang ingin diceburi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi dipenuhi oleh warga tempatan.

Dalam pada itu, Naroden turut pengurusan tertinggi di Kolej Vokasional dan sekolah menengah teknik untuk memperbanyak jalinan kerjasama merentasi pelbagai pihak berkepentingan dari sektor industri.

“Kerjasama antara pihak industri dan institusi TVET akan membantu dalam penghasilan produk yang berkualiti dan perkhidmatan yang lebih efisien.

“Saya yakin komitmen dan iltizam yang tinggi antara semua pihak berkepentingan dan sokongan pihak industri akan memastikan kejayaan agenda pemerkasaan TVET dan manfaatnya akan turut dirasai di negeri Sarawak ke arah negeri perindustrian bertaraf dunia,” katanya.

Dr Hazland merakam gambar kenangang bersama kakitangan Koleh Vokasional Matang dan pihak Industri yang hadir pada majlis tersebut.

Suara Sarawak