ARTIKEL

TVS perkenal logo rasmi baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Stesen televisyen pertama milik Kerajaan Sarawak, TVS secara rasmi memperkenalkan logo baharu sebagai langkah strategik untuk bergerak ke hadapan selepas tiga tahun penubuhannya.

Pengerusinya Datuk Norhyati Mohd Ismail berkata, langkah menukar identiti visual tersebut adalah tepat pada masanya dan ia juga selaras dengan objektif TVS.

“Kerana salah satu daripada objektif TVS adalah untuk bergerak maju ke hadapan, merentasi dunia.

“Kita telah melalui beberapa evolusi, di TVS dalam tempoh tiga tahun ini. Jadi, ini adalah masa bergerak ke hadapan dengan melihat kembali jenama kita ini supaya menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran logo baharu TVS bersama-sama dengan Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kushairi Abang di TVS, di sini, hari ini.

Untuk rekod, logo baharu ini menandakan perubahan daripada versi sebelumnya, mengambil palet dinamik tiga warna utama – Kuning, Merah, dan Hitam. Pemilihan ini sejajar dengan skema warna bendera Sarawak, mengukuhkan kaitan dengan negeri ini.

Selain logo, TVS juga melancarkan lagu tema dan domain laman web baharu di www.tvsarawak.my, yang mencerminkan arah tuju untuk mencapai liputan kebangsaan, menekankan integrasi kebangsaan antara wilayah-wilayah di Malaysia.

Hadir sama ahli lembaga pengarah Kumpulan Media Sarawak (SMG) Datuk Dr Jeniri Amir, Datuk Ahmad Shafiee Yaman dan Rafidah Nawawi@Narawie serta wakil yang lain.

SIMBOLIK… Norhyati dan Kushairi menyempurnakan simbolik pelancaran logo baharu TVS bersama-sama. (F: Ramidi)
RAKAMAN KENANGAN… Norhyati (lima kiri) merakam gambar kenangan dengan Kushairi (tiga kiri) bersama-sama kakitangan yang lain. (F: Ramidi)

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU