SAMARAHAN: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menghadiri Majlis Iftar Perdana UNIMAS 2023 bersama kira-kira 300 pelajar dan kakitangan Unimas di sini, malam tadi.
Ketibaan Tun Taib dan isteri di pekarangan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Panglima Sulong Matjerai serta Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Sejurus selesai berbuka puasa, Tun Taib berserta isteri menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah bersama-sama warga Unimas.
Dalam majlis tersebut, Tun Taib yang juga Canselor Unimas turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai daripada Unimas kepada empat masjid di sekitar Samarahan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Baitul Ihtimam.
Antara masjid yang terpilih ialah Masjid Darul Istiqamah Kampung Niup, Masjid Darul Falah Kampung Tanah Putih, Masjid Darul Islam Bersatu Kampung Melayu dan Masjid Darul Islam Wal Muslimin Kampung Naie.
Menurut kenyataan Unimas, iftar tersebut merupakan majlis tahunan yang diadakan bagi meraikan bulan suci Ramadan bersama seluruh warga kampus termasuk staf, pelajar serta komuniti setempat di sekitar Samarahan.
Program itu juga sekali gus menjadi platform untuk menjalin silaturahim dalam kalangan warga kampus bersama komuniti.