UAE tawar peluang kerakyatan

DUBAI: Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membuka peluang kepada warga asing terpilih untuk mendapatkan kerakyatan di negara itu. Ia merupakan salah satu langkah jarang berlaku di negara Teluk berikutan manfaat dan status kebajikan yang sentiasa terjaga.

Pemimpin Dubai dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashed Al-Maktoum berkata, pihaknya membuka ruang untuk pelabur, mereka yang mempunya bakat khusus dan profesional seperti saintis, doktor, jurutera, artis, penulis dan keluarga mereka layak memohon kerakyatan negara berkenaan.

“Kabinet UAE, mahkamah tempatan dan majlis eksekutif akan mencalonkan mereka yang layak di bawah kriteria berbeza dalam setiap kategori. “Undang-undang itu membolehkan individu berkenaan mengekalkan kerakyatan negara asal mereka,” katanya.

Kerajaan UAE berkata, perubahan undang-undang berkaitan kerakyatan itu bertujuan ‘menghargai bakat dan kemahiran yang ada di UAE serta menarik minda cerdik pandai di negara itu.

Warganegara UAE hanya mewakili jumlah kecil dalam populasi dengan sebahagian besar tenaga kerja adalah migran khususnya dari Asia selatan. UAE turut memiliki komuniti ekspatriat kaya yang berkembang kerana tarikan rejim cukai rendah dan projek mewah serta lokasi pelancongan yang besar.

Negara-negara minyak Teluk yang kaya telah lama menjamin warganegara mereka taraf hidup tinggi melalui pekerjaan dan sistem kebajikan yang disediakan sejak lahir.

Untuk melindunginya, mereka jarang membenarkan naturalisasi tersebut. – AFP