Ubah defisit jadi lebihan

KUCHING: Jabatan Pertanian Negeri telah membawa banyak perubahan ke dalam jabatan dan sektor pertanian di negeri ini, menjadikan ia satu langkah lebih dekat untuk negeri ini menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia permulaan yang baik bagi jabatan ini untuk mengerakkan sektor pertanian mencapai aspirasi yang ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak, pada masa yang sama membantu dalam meningkatkan ekonomi Sarawak.

“Pada 2019, sektor pertanian telah menyumbang sekitar 12.1 peratus atau RM16.5 bilion kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK). Namun, dari segi perdagangan makanan pertanian, Sarawak mengalami defisit sebanyak RM3.98 bilion tahun lalu.

“Angka ini menunjukkan bahawa ada banyak hal yang perlu kita lakukan untuk mencapai tujuan kita, malah ia juga akan dapat mengurangkan defisit perdagangan makanan dan seterusnya, mengubah defisit itu menjadi lebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak pada Isnin.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian Sarawak juga telah melancarkan aplikasi mudah alih bagi rumpai, serangga dan koleksi mikroorganisme (Wimics) dan Agrosoils Soil Information Delivery (ASID) bagi membangunkan pertanian ke arah perancangan yang lebih baik.

Ujar Uggah, beliau gembira JPNS akan memanfaatkan inisiatif teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk tujuan pengumpulan data, penyimpanan dan pemantauan.

“Pelaksanaan sistem aplikasi se-perti Wimics dan ASID sangat penting dan baik bagi operasi pertanian dan membolehkan kami untuk mendapatkan akses maklumat yang lebih baik melalui telefon bimbit dan peranti lain yang mungkin sukar diakses. “Oleh itu, saya mahu jabatan ini terus memanfaatkan inisiatif ICT untuk memendekkan proses kerja dan mengautomasikan perkhidmatan kami,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berharap inisiatif digital seperti ini dapat dipamerkan dalam Bidang Tumpuan Utama (KFA) dan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Ujarnya, media sosial juga boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai aktiviti jabatan. “Namun, jika tidak ditangani dan dilaksanakan dengan betul, ia boleh menjadi kerugian iaitu maklumat boleh disalah guna,” katanya.

Uggah turut menasihati Jabatan Pertanian agar menubuhkan pasukan khas untuk menyaring dan meneliti semua maklumat untuk keselamatan, pengurusan dan pengendalian kandungan yang lebih baik.