Trending

Ubah landskap Betong

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SARAWAK mempunyai cara tersendiri untuk membangunkan sesebuah kawasan dengan terancang, dari bandar hingga ke luar bandar dan pedalaman.

Selain pentadbiran di peringkat bahagian dan daerah, Sarawak mempunyai pelbagai agensi pembangunan.

Kawasan hulu, tanah tinggi, tengah, masing-masing ada agensi pembangunan sendiri diwujudkan.

Terbaharu pada Konvensyen PBB Ke-15, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan inisiatif untuk mewujudkan Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA).

Satu lagi sejarah baharu bagi Betong.

Mengapa?

Kerana selepas 20 tahun diangkat sebagai bahagian pentadbiran baharu, Betong kini mempunyai BIDA.

Seperti agensi pembangunan yang lain, BIDA pastinya akan menjadi platform tepat untuk mengubah landskap Bahagian Betong secara keseluruhan.

Tidak dinafikan selepas 20 tahun bergelar bahagian, ada yang menganggap tanah Panglima Rentap itu agak ke belakang.

Ada juga yang mendakwa, Betong berada pada landasan yang tepat untuk lebih hebat daripada bahagian lain.

Apa tidaknya, ia kini diwakili seorang wakil rakyat berjawatan timbalan premier, orang nombor dua dalam Kabinet Sarawak.

Dua lagi berstatus timbalan menteri.

Ada juga seorang penasihat di Jabatan Premier Sarawak.

Di peringkat Kerajaan Persekutuan, ada seorang ahli parlimen memegang jawatan timbalan menteri.

Jika dilihat, Bahagian Betong tidak harus ke belakang.

Penulis enggan mengulas apa-apa, cuma itulah cakap-cakap yang sering didengar… ada betulnya juga.

Cuma satu yang penting dan sangat diharapkan adalah samarata, perlu ada semak dan imbang.

Ada kuasa besar, Betong tetap perlu diurus dengan bagus.

Sebagai anak kampung yang berada dalam salah sebuah daerah di Bahagian Betong, BIDA diharap dapat melimpahkan pembangunan yang sama rata.

Tidak boleh di kawasan orang besar sahaja, yang perlu diutamakan ialah hak rakyat, yang kesemuanya masih menagih pembangunan yang seimbang.

Yang di pekan jangan terus disuap dengan pelbagai projek, agih-agihkan juga ke merata-rata.

Kerana mereka di sebelah hulu, di kawasan pesisir pantai pun mempunyai hak.

Justeru, BIDA harus melihat setiap aspek. Andai boleh, pastikan tiada yang tercicir menerima pembangunan.

Besar harapan orang Bahagian Betong terhadap BIDA dan kami berterima kasih kerana Kerajaan Sarawak pimpinan GPS mempunyai perancangan untuk kami.

Wakil rakyat yang mengganggotainya juga diharap memainkan peranan masing-masing atas kapasiti masing-masing.

Selain fizikal, fokuskan juga kepada pembangunan sosioekonomi dan kemenjadian anak-anak.

Untuk rekod selepas BIDA diumumkan, mesyuarat pertamanya telah diadakan yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.

Laporan Ukas menyatakan ia disertai Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Adun Layar Datuk Gerald Rentap Jabu (Adun Layar), Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam (Adun Saribas), Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Adun Beting Maro Razaili Gapur, Adun Krian Friday Belik, Adun Kalaka Mohamad Duri, Adun Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor dan Adun Kabong Mohamad Chee Kadir serta Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas. Kata Uggah, BIDA meliputi Dun Layar, Bukit Saban, Saribas, Beting Maro dan sebahagian daripada kawasan Dun Lingga, Kalaka dan Krian.

“Kami amat yakin kawasan BIDA akan mengalami pembangunan ekonomi sosial yang pesat termasuk pembangunan infrastruktur tidak lama lagi,” katanya.

Penubuhan BIDA merupakan salah satu daripada dua agensi baharu yang diumumkan Premier Sarawak semasa merasmikan penangguhan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB baru-baru ini.

Agensi lain yang turut diumumkan ialah Agensi Pembangunan Delta Rajang dan kini Sarawak mempunyai lapan agensi pembangunan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru