
PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) merupakan salah satu nadi pembangunan ekonomi sesebuah negara, sekali gus menjadikan PKS sebagai industri yang sangat signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara maju dan membangun.
Malaysia sebagai sebuah negara membangun turut mengiktiraf peranan dan sumbangan industri PKS dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Melalui PKS, Malaysia mampu mengukuhkan kedudukan dalam pasaran antarabangsa masa kini ekoran kelebihan teknologi yang dunia miliki yang memudahkan pemahaman permintaan pembeli di dalam dan luar negara.
Secara khusus, sumbangan PKS dalam pembangunan ekonomi Malaysia dapat dilihat melalui penyediaan peluang pekerjaan, peningkatkan pendapatan perkapita negara, pendapatan eksport negara, dan sebagainya.
Oleh itu, peranan PKS dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi bagi setiap negara adalah jelas.
Bagaimanapun, di sebalik peranan dan sumbangan yang signifikan kepada ekonomi, PKS menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran yang secara langsung memberi kesan kepada operasi perniagaan, daya tahan persaingan, keuntungan, pertumbuhan dan prestasi perniagaan.
PKS bukan sahaja berdepan dengan keadaan pasaran yang dinamik serta tidak menentu, tetapi juga dasar keterbukaan pasaran oleh kebanyakan negara telah meningkatkan persaingan industri yang sengit dan mencabar PKS.
Justeru, PKS perlu meningkatkan keupayaan dan mengekalkan serta meningkatkan prestasi perniagaan bagi menghadapi persaingan domestik dan global.
Bantuan kerajaan PKS di Sarawak bernasib baik kerana kerajaan GPS telah membantu untuk memajukan perniagaan PKS dengan menyediakan geran dan bantuan lain seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).
Pada 2022, RM25.1 juta diperuntukkan dalam memudahkan pemulihan perniagaan, PKS dan pengusaha mikro melalui pelaksanaan pelbagai bantuan dan inisiatif melibatkan skim subsidi di bawah Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Bantuan serta Pemulihan Fasiliti Bersasar serta Pembiayaan Pelancongan Penjana.
Di sini, kita dapat melihat bahawa Kerajaan Sarawak terus komited membantu PKS memulih dan membangunkan kembali perniagaan selain memudahkan urusan syarikat pemula di negeri ini.
Seterusnya, jenis bantuan yang juga boleh disalurkan oleh pihak kerajaan mahupun swasta adalah seperti kemudahan bantuan kewangan, bantuan teknikal dan khidmat nasihat, kursus pendek, pendaftaran pemilikan harta intelek, pasaran dan pemasaran yang perlu didedahkan kepada pengusaha kecil.
Selain bantuan kerajaan, usahawan juga perlu mempunyai strategi yang baik dan berkesan dalam memasarkan produk, barangan atau perkhidmatan yang hendak dijual kepada pembeli.
Pengusaha harus menghasilkan produk yang secara fizikal boleh menarik perhatian dan menepati kehendak pengguna meliputi aspek kepelbagaian produk, kualiti, reka bentuk, ciri-ciri, jenama, pembungkusan, saiz, perkhidmatan, jaminan dan pulangan.
Aspek pemasaran Kebanyakan produk usahawan bumiputera ini mempunyai kualiti yang bagus, namun aspek pemasaran, pembungkusan masih belum mencapai piawaian yang dikehendaki.
Ini menunjukkan dalam aspek pemasaran pengusaha kecil, kriteria seperti ini merupakan salah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian.
Pengusaha perlu mempunyai inisiatif untuk melaksanakan inovasi tertentu bagi mencapai tahap kesempurnaan produk yang hendak dijual.
Sekalipun produk mempunyai kualiti yang baik, namun, sekiranya aspek pembungkusan tidak setanding, produk mungkin sukar bersaing, apatah lagi di peringkat antarabangsa yang lebih luas persaingannya.
Kemampuan dan keupayaan dalam memasarkan produk makanan adalah cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha kecil.
Mereka sering menghadapi masalah mendapatkan pasaran. Mereka perlu mengatur strategi pemasaran dan mencari peluang rangkaian perniagaan secara bijak.
Pengusaha kecil perlu memberi penekanan lebih aspek pemasaran mereka.
Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan perniagaan, pelbagai bantuan daripada kerajaan seharusnya dapat membantu industri kecil menghadapi apa-apa jua cabaran perniagaan ke arah lebih cemerlang.
Oleh itu, kita perlu berbangga dengan komitmen pengusaha untuk memajukan diri sendiri dengan sanggup mencari dan mengamalkan teknologi bersesuaian secara berterusan untuk mengeluarkan produk bermutu tinggi, selamat, kos efektif dan boleh bersaing di pasaran global.
Usahawan pada masa ini juga dinasihatkan untuk tidak terlalu selesa dengan perniagaan tradisional, sebaliknya perlu meneroka potensi perniagaan e-dagang seperti pandemik Covid-19 yang telah mengubah model perniagaan.
Diharapkan agar Malaysia akan mampu menjadi negara yang membangun dan maju setanding dengan negara-negara maju yang lain.