Ubah perniagaan kepada digital

LUNDU: Peniaga kecil dan informal diminta mendaftar perniagaan mereka supaya dapat menikmati pelbagai bantuan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Komunikasi (Medac).

Menterinya Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lebih dua juta perniagaan kecil dan informal di seluruh negara masih belum berdaftar.

Menurutnya, disebabkan tidak berdaftar, Medac tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini. “Kita sedar bahawa perniagaan Mak Cik Kiah ini sangat terjejas oleh situasi Covid-19.

“Kami prihatin dengan keadaan mereka dan kami ingin menolong mereka. “Namun, mereka perlu mendaftarkan perniagaan mereka agar apa-apa sahaja bantuan yang ada dapat kita diberikan melalui saluran yang betul,” katanya.

Wan Junaidi berkata, dalam memastikan kelangsungan perniagaan akibat Covid-19, usahawan diminta membuat persiapan sewajarnya dalam menukar operasi perniagaan daripada tradisional kepada digital.

“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baru. Disebabkan kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian.

“Mereka yang enggan berubah seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka. “Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya.

“Berdasarkan tinjauan yang telah kami jalankan, ada antara peniaga ini yang menikmati perningkatan penjualan hingga 500 peratus setelah mereka berhijrah ke perniagaan dalam talian,” tambahnya.

Sementara itu katanya, pendidikan dan kesihatan seharusnya diberi tumpuan khusus kerana kedua-duanya merupakan elemen penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat. Seramai 28 penduduk dan 55 badan bukan kerajaan daerah ini menerima bantuan kewangan di bawah geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) Kerajaan Sarawak.

Pemberian MRP bernilai RM187,200, khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan disampaikan sendiri oleh Dr. Wan Junaidi dalam satu majlis di Dewan Masyarakat Lundu pada Sabtu.

Suara Sarawak