Ubat gout kurangkan komplikasi Covid-19?

MONTREAL: Sekumpulan pakar perubatan di Kanada mendakwa menemui ubat untuk rawatan gout, Colchicine yang dilihat berupaya mengurangkan risiko komplikasi dan kematian akibat Covid-19.
Pengarah Institut Jantung Montreal (ICM) Jean-Claude Tardif, yang mengetuai kajian yang digelar ‘Colcorona’ berkata, dapatan kajian itu diperolehi menerusi 4,488 pesakit di Kanada, AS, Eropah dan Amerika Selatan.
Daripada 4,159 pesakit itu, penggunaan Colchicine berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 25 peratus, keperluan ventilasi mekanikal sebanyak 50 peratus, dan kematian sebanyak 44 peratus.
“Kajian Colcorona menunjukkan keputusan meyakinkan dengan lebih 20 peratus pengurangan rawatan di hospital atau kematian berkaitan Covid-19 dengan Colchicine, berbanding placebo.
“Ini adalah kajian terbesar di dunia, iaitu ubat yang diberikan secara oral kepada pesakit, yang tidak dimasukkan ke hospital dengan Covid-19,” katanya.
Ujian klinikal menunjukkan Colchicine berjaya mengurangkan 21 peratus risiko kematian atau dimasukkan ke hospital terhadap pesakit Covid-19 berbanding plasebo.
“Colchicine adalah ubat antiradang yang kuat dikenal pasti sejak sekian lama iaitu pada 150 tahun lalu. “Ia diekstrak daripada satu tumbuhan yang dipanggil Colchicum Autumnale dan digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti gout, radang artritis dan perikarditis,” katanya.
Tambahnya, keputusan itu tidak dijangka kerana Colchicine sudah terdapat di farmasi, selamat digunakan serta tidak mahal untuk kebanyakan penyakit.
“Penemuan ini bukan hanya berguna di Perancis, Kanada, AS atau negara G8 tetapi di negara membangun, miskin, Afrika, Asia yang mendapat manfaat dengan cepat daripada ubat yang tidak mahal.
Ia dapat diambil secara oral melalui tablet,” katanya. Menurutnya, dapatan itu juga memberi harapan kepada pesakit, sistem penjagaan kesihatan dan kerajaan. – AFP