Udang merah dan putih melimpah di Laut Kabong

MALUDAM: Rezeki tidak tertuga lima sekawan nelayan menjadi perbualan netizen setelah berjaya memperoleh sebanyak 7,400 Kilogram udang di laut Kabong, pada Sabtu.

Muliady Shamsudin, 46, ketika dihubungi pemberita menganggap hasil itu sebagai rezeki menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada penghujung bulan Mei tahun ini.

Menurutnya, beliau tidak menyangka sama sekali hasil 40 utas pukat pundi yang dipasang di laut Kabong berjaya membanjiri perahu mereka yang seluas 10 kaki itu.

“Saya bersama empat orang lagi awak-awak(anak kapal) seperti biasa turun kelaut untuk memasang pukat di laut Kabong bagi mencari rezeki pada bulan ramadan.

“Hasilnya kami berjaya membawa pulang sebanyak 185 bakul hasil laut terdiri daripada udang merah dan putih yang dikenali sebagai udang duri ke Maludam tengah hari semalam,” jelasnya sambil tidak putus memanjatkan kesyukuran atas hasil diperolehi itu.

Dedahnya, kesemua hasil itu telah mencecah keuntungan hampir RM6,000 setelah dijual kepada pemborong dan warga kampung berdekatan berikutan sebakul udang bernilai RM35.

Terdahulu, Muliady bersama empat rakannya turun ke laut pada jam 12 tengah malam sebelum balik membawa hasil lumayan tersebut ke Maludam sekitar jam 12 tengah hari.

Ujarnya, mereka terpaksa menunggu beberapa jam sehingga air mulai pasang untuk memudahkan perahu yang sarat dengan udang itu memasuki sungai kampung dengan selamat.