KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah hendak membakar rumah bapa saudaranya.
Tertuduh Maszidi Mohamad, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja melakukan ugutan jenayah hendak membakar rumah mangsa lelaki berusia 55 tahun di Kampung Muara Tebas, sekitar jam 4.15 petang, 6 September lepas.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, semasa pengadu tiba di rumah mendapati anak saudaranya (tertuduh) dengan panggilan nama Jidi telah mengamuk dengan bertindak mencucuk dinding rumah menggunakan sebatang besi dan sebilah parang.
Selain itu, tertuduh juga mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membakar rumah pengadu dan membuat perkara yang tidak baik kepada keluarga pengadu.
Punca kejadian kerana tertuduh tidak puas hati dengan anak pengadu namun pengadu tidak mengetahui penyebab utama tertuduh tidak berpuas hati dengan anaknya.
Bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain, pengadu bertindak membuat laporan untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.