KUCHING: Akibat mengugut bunuh dan mencederakan bapa sendiri, seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 14 bulan penjara atas dua pertuduhan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Frizal Morshidi, 30, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Mengikut pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan mengikuti kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ugut bunuh terhadap bapanya Morshidi Kongkong,56.
Sementara, bagi pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara empat bulan mengikut kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 326A Seksyen yang sama, kerana sengaja mencederakan bapa kandungnya.
Menurut fakta kes, berlaku salah faham dan pergelutan antara pengadu (bapa) dan tertuduh (anak) di kediaman mereka di Kampung Gita Lama sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan di bahagian muka, hidung, dan tangan kanan.
Semasa kejadian, tertuduh yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan telah mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan jenayah iaitu “siap kau, kau ku bunuh ku kelak, mati kau kelak. Mun sik dapat, rumah tok akan ku tunuk ku kelak”.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman berat dan memberi pengajaran atas kesalahan yang telah dilakukan.