KUCHING: Padah mengugut ibu kandung kerana wang, penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Rashid Daud, 35, dari Kampung Tupong Batu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Abdul Rashid didakwa telah melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap ibu kandungnya berusia 70 tahun di sebuah rumah sekitar jam 7 pagi, 19 Ogos lalu.
Pendakwaan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba-tiba mengamuk sambil mengacukan pisau lipat ke arah leher ibu kandungnya (pengadu) kerana enggan memberikan sejumlah wang yang diminta untuk membeli dadah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.