
KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,300 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana sengaja mendatangkan kesakitan terhadap seorang pembantu kedai.
Majistret Siti Farah Ibrahim menjatuhkan hukuman terhadap Ozzy Allister Chin, 30, dari Kampung Sikuduk selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kesakitan terhadap mangsa berusia 19 tahun dengan menanduk kepalanya dalam satu kejadian di sebuah pusat beli belah terkemuka, sekitar jam 10.45 pagi, 13 Januari lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu sedang bekerja, dia didatangi tiga orang lelaki yang tidak dikenali yang menyatakan mereka adalah Bidayuh Padawan.
Salah seorang lelaki tersebut menunjukkan gambar profil Facebook pengadu dan bertanya adakah gambar tersebut adalah pengadu.
Setelah menjawab pertanyaan mereka, tertuduh terus menghantukkan kepalanya ke arah pengadu dan mengatakan pengadu telah memukul rakan mereka di sebuah pusat hiburan.
Pengadu kemudian, ditarik keluar ke kawasan letak kereta serta dipaksa masuk ke dalam kereta oleh tertuduh tetapi sempat dihalang oleh pengawal keselamatan pusat berkenaan.
Sebelum meninggalkan tempat berkenaan, salah seorang rakannya bernama, Franley Then turut menyatakan akan mencari pengadu semula.
Sementara itu, di Makamah berasingan, rakan tertuduh bernama Franley Then, 29, dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara satu bulan oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa yang sama.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua orang pegawai pendakwa iaitu Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.