Ugutan dalam politik

Sebagai negara demokrasi, tidak usah budaya menakut-nakutkan atau berbaur

ugutan dijadikan metodologi politik untuk meraih sokongan.

Seiring semangat Malaysia baharu yang diketengahkan dan kebebasan bersuara dalam menyatakan hak atau membuat pilihan, seharusnya tiada mana-mana pihak perlu terus memainkan taktik seperti ini.

Umpamanya ada kenyataan yang disebut oleh ahli politik Kerajaan Persekutuan yang menyamakan keputusan GPS dan sekutu Umno-Pas ada agenda bersama dan berpakat menidakkan undian bagi kes Sabah Sarawak mendapat hak status sebagai rakan kongsi dalam Malaysia baru baru ini.

Makin mengusutkan lagi situasi apabila andaian terhadap keputusan berkenaan diterjemahkan sebagai satu cara dan pendekatan usaha sama yang bakal terjalin antara GPS dengan sekutu Umno- Pas menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak nanti.

Malah ditakut-takutkan pula pengundi dengan ancaman bahawa GPS perlu dihapuskan dalam PRN akan datang jika tidak mahu sekutu Umno-Pas bertapak dan memenangi PRN bersama GPS.

Ini bukan soal memihak kepada mana-mana parti, cuma rasanya agak kurang profesional jika kaedah yang digunakan itu bertujuan semata-mata meraih undi dan sokongan dengan menjadikan pengundi berada dalam keadaan serba salah sedangkan tuduhan dan andaian yang dilemparkan itu tidak sahih.

Menurut penganalisis politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman, jika sekalipun Umno-Pas masuk bersama GPS, apa bezanya Parti Tindakan Demokratik (Dap) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga gabungan dari luar Sarawak.

Era Budaya Baharu

Dengan kata lain, jika ingin melihat era budaya Malaysia Baharu ini benar-benar berkesan dan diamalkan sepenuhnya, biarlah hasil kerja dan perjuangan sebenar untuk rakyat dan negara dijadikan ukuran untuk rakyat memilih.

“Bukan dengan menimbulkan keraguan dan ketakutan pada pemilih hingga menjadikan mereka serba salah dan membuat pilihan atas dasar emosi, andaian dan sentimen semata mata.

“Malah yang bakal lebih merasai kepayahan dan menjadikan mereka serba salah adalah dari golongan rakyat pedalaman yang berkemungkinan dilihat mudah dimanupilasikan.

“Dalam keadaan ini, golongan ini terperangkap dalam situasi sama adad untuk memberikan sokongan pada wakil rakyat mereka yang mewakili Kerajaan Persekutuan atau sokongan kepada Kerajaan Negeri sendiri,” katanya.

Dalam konteks antara “pemerintah dan pemerintah” pula, tentu amat berat untuk rakyat timbangkan.

Raih Sokongan

Sebaiknya tidak usahlah sentimen ini dijadikan sebagai bahan untuk meraih sokongan atau undi.

Bak kata pepatah ‘Jangan sampai apabila gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah’.

Pada era ini rakyat ingin diberikan pilihan menilai dan membuat perhitungan sendiri tanpa terlalu dipengaruhi.

Bagi Mohd Fadzil yang juga Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Unimas, yang boleh diketengahkan oleh mana-mana parti sepatutnya lebih kepada apa yang mereka boleh bawakan kepada rakyat.

“Ini sepatutnya menjadi asas utama buat rakyat menentukan pemimpin mana dan kerajaan mana perlu diberikan mandat.

“Tiada guna jika hanya gah membakar sentimen semata-mata untuk meraih undi tapi realitinya dari segi tindak tanduk dan perhatian tidak segah sentimen dibakar.

“Apabila diberikan kedudukan, jangan dikatakan api, bara sekalipun sudah tiada kelihatan. Apakah itu yang diingini rakyat sebagai wakil yang dipilih?

“Jangan sampai jadi seperti ayam jantan yang gah berkokok tapi ekornya bersadur kotoran di belakang,” ujarnya.