ARTIKEL

Poster iklan program Rev It Up! 2025 E-Sports Carnival yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Disember ini di Bilik Seminar Utama (BSU), Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2.

UiTM Sarawak anjur Rev It Up! 2025 E-Sports Carnival bulan ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak bakal menggegarkan arena e-sukan dengan penganjuran Rev It Up! 2025 E-Sports Carnival pada 12 dan 13 Disember ini, menghimpunkan pemain terbaik dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di seluruh Sarawak bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM3,500.

Karnival anjuran UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2 itu turut mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Esports Integrated (ESI), sekali gus memperkukuh usaha memajukan ekosistem e-sukan dalam kalangan mahasiswa.

Acara dua hari berkenaan bakal menampilkan empat judul utama yang dipertandingkan iaitu PUBG Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), EAFC 26, dan Sim Racing Time Attack, dengan penyertaan dibuka khusus kepada pelajar IPTA dan IPTS di negeri ini.

Penganjuran tersebut menyediakan platform profesional untuk bakat muda mengetengahkan keupayaan taktikal dan kemahiran permainan kompetitif.

Selain pertandingan, program itu turut merangkumi Bengkel Pengurusan E-Sukan serta Pameran E-Sukan yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan industri, peluang kerjaya, dan pemahaman lebih mendalam tentang pengurusan sukan digital.

Komponen sokongan ini juga selaras dengan objektif utama penganjuran untuk memupuk budaya pertandingan beretika dan melahirkan generasi pemain yang lebih berdaya saing.

Hari pertama karnival akan melibatkan proses pendaftaran dan sesi bengkel sebelum berlangsungnya pusingan kelayakan bagi semua kategori permainan. Manakala hari kedua pula akan diteruskan dengan pusingan kelayakan tambahan, peringkat akhir dan diakhiri dengan majlis penutupan rasmi serta penyampaian hadiah.

UiTM Cawangan Sarawak menjangkakan Rev It Up! 2025 E-Sports Carnival akan memberi impak positif terhadap pembangunan e-sukan di negeri ini dan mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi peneraju pembangunan bakat digital dan inovasi belia.

Untuk maklumat lanjut, butiran pendaftaran, dan garis panduan pertandingan, peserta yang berminat boleh menghubungi Pensyarah Pengurusan dan Perniagaan, Rudy Ujang di talian 016-8821745 atau emel: rudyujang@uitm.edu.my.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU