Ujian pertama Sarawak United

SKUAD Sarawak United FC (SUFC) akan mengharungi ujian pertama Liga Premier 2021 apabila turun menentang Kelantan United di Stadium Hang Jebat pada jam 9.00 malam ini (Ahad).

Stadium Hang Jebat merupakan gelanggang utama SUFC, sepanjang pandemik Covid-19, dan mereka hanya akan berpindah ke Kuching sekiranya keadaan wabak benar-benar reda.

Walaupun membuat persiapan yang agak singkat, kurang sebulan, namun jurulatih SUFC, E. Elavarasan tetap yakin dengan keupayaan anak-anak buahnya, selepas mengharungi dua aksi persahabatan, mengalahkan Kedah 2-1, dan seri 1-1 dengan Sabah FC.

“Para pemain begitu teruja untuk memulakan saingan… jadi ini menunjukkan mereka bersedia.

“Segala perancangan telah pun diatur dan diharap para pemain dapat memperlihatkan kematangan mereka untuk menterjemahkan apa yang telah dilalui sepanjang latihan,” ujar Elvarasan.

Jurulatih berpengalaman luas itu, berharap anak-anak buahnya kekal fokus sepanjang saingan dan bijak memanfaatkan peluang.

Sementara itu, Presiden SUFC, Datuk Posa Majais menaruh harapan tinggi untuk melihat SUFC bermula dengan langkah kanan.

“Ia bukan tugas mudah, tambahan pula kami telah melalui cabaran demi cabaran sepanjang Covid-19 ini… yang pasti, saya berharap para pemain akan memanfaatkan segala ilmu yang diraih sepanjang sesi latihan,” kata Posa.

Yang pasti, Elvarasan akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menggempur kubu Kelantan United malam ini.

Bahagian serangan bakal diterajui penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Tahala (Mat Yo) bersama-sama penyerang dari Korea Selatan, Lee Chang-Hoon.

Manakala bahagian tengah akan diterajui oleh bintang dari Brazil, Sandro Mendoca bersama-sama bekas bintang Selangor Christie Jayaseelan.

Bekas tonggak Pahang, R. Gopinathan dan bekas pemain Harimau Muda, Ashri Chuchu pula akan bergerak dari bahagian sayap. Manakala benteng akan dikepalai, bintang handalan Australia, Taylor Regan.

Sementara itu, penjaga penjaga gol Malaysia/Terengganu/Selangor/Pahang, Sharbinee Allawee akan bertindak di benteng terakhir.

Suara Sarawak