Ukraine sahkan semua penumpang terbunuh

KIEV: Sebuah pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines terhempas akibat masalah teknikal sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Imam Khomeini, di Iran mengorbankan kesemua di atas pesawat, lapor agensi berita separa rasmi ISNA.

Pesawat itu membawa 82 warga Iran dan 63 warga Kanada, kata seorang menteri Ukraine. Boeing 737 itu juga membawa 11 rakyat Ukraine, 10 Sweden, empat Afghanistan, tiga Jerman dan tiga warga Britain, tulis Menteri Luar Negeri Vadym Prystaiko di Twitter.

Ia terhempas ke tanah ladang di Khalaj Abad, di daerah Shahriar, kira-kira 45 kilometer (30 batu) barat laut lapangan terbang, menurut laporan media negara.

“Jelas sekali, adalah mustahil untuk penumpang dalam penerbangan PS-752 itu terselamat, kata Ketua Palang Merah, Morteza Salimi kepada agensi berita ISNA.

“Daripada 176 orang yang terkorban, sembilan ialah krew penerbangan dan penumpang lain,” kata Mohammad Taghizadeh, timbalan gabenor wilayah Teheran, kepada ISNA. Sebanyak 70 lelaki, 81 wanita dan 15 kanak-kanak terkorban. “Pada masa ini terdapat 500 unit perubatan di tempat kejadian”, tambahnya.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Mojtaba Khaledi berkata majoriti mangsa yang terkorban rakyat Iran. Hanya dua penumpang dan sembilan kru pesawat merupakan rakyat Ukraine, menurut majlis keselamatan negara Ukraine, yang mengawasi pasukan krisis.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengesahkan semua di dalam pesawat terbunuh. “Menurut data awal, semua penumpang dan anak kapal mati,” tulisnya di Facebook.

Beliau memberi amaran terhadap sebarang spekulasi mengenai punca kemalangan itu. “Saya meminta semua orang supaya tidak membuat spekulasi dan meletakkan teori yang tidak dapat disahkan mengenai nahas udara itu,” tambah Zelensky di Facebook.

Beliau telah memendekkan percutian di Oman dan kembali ke Ukraine. Palang Merah berkata pasukannya dibantu oleh anggota bomba dan tentera dalam usaha untuk mencari mayat mangsa.

“Selepas jam enam pagi (0230 GMT) pagi ini kami diberitahu bahawa sebuah pesawat penumpang telah terhempas di sekitar Shahriar,” kata Shahin Fathi, ketua unit mencari dan menyelamat.

“Semua pasukan operasi dihantar ke kawasan itu,” katanya kepada televisyen. “Malangnya… kami tidak menemui seorang pun yang hidup.” Press TV memetik jurucakap Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini, Ali Khashani berkata nahas itu mungkin berpunca daripada “masalah teknikal”.

Boeing dalam kenayataan di Twitter berkata, pihaknya menyedari laporan media dari Iran dan mengumpul lebih banyak maklumat. – AFP

Suara Sarawak