Ulama Indonesia ditahan polis

JAKARTA: Seorang ulama Indonesia ditangkap pada Ahad kerana dituduh melanggar sekatan untuk membendung Covid-19, selepas dia mengadakan beberapa perhimpunan umum yang dihadiri ribuan pengikutnya.

Penangkapan Rizieq Shihab itu berlaku hanya beberapa hari selepas polis Jakarta menembak mati enam pengikutnya dalam kejadian tembak-menembak di jalan raya.

Rizieq ditahan selama 20 hari untuk menghalangnya daripada melarikan diri dan memusnahkan bukti, kata polis. “Sebab lain bagi penahaan itu ialah kerana dia mengulangi kesalahan tersebut,” kata jurucakap Polis Negara Argo Yuwono pada Ahad.

Sekiranya didapati bersalah, Rizieq boleh dihukum sehingga enam tahun penjara kerana melanggar peraturan koronavirus.

Bulan lalu, ramai orang melanggar larangan perhimpunan Covid-19 apabila puluhan ribu penyokong Rizieq menyambut kepulangannya daripada buangan di luar negara di Lapangan Terbang Jakarta.

Puluhan orang yang menghadiri perhimpunan itu kemudian diuji positif Covid-19, polis beberapa kali memanggil Rizieq untuk disoal siasat.

Untuk rekod, Indonesia melaporkan 600,000 kes jangkitan Covid-19 dan lebih 18,000 kes kematian, dengan pihak berkuasa mengenakan sekatan di seluruh negara untuk membendung penularan penyakit itu.

Di sebalik sekatan tersebut, Rizieq Shihab mengadakan beberapa ceramah, majlis sambutan Maulidur Rasul, dan majlis perkahwinan anak perempuannya dengan semuanya dihadiri oleh ribuan orang.

Sebelum ini, pemimpin agama Front Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab melarikan diri ke Arab Saudi sejurus polis menamakan dia sebagai suspek kes pornografi pada 2017, dan berada dalam buangan selama tiga tahun. – AFP

Suara Sarawak