SIMANGGANG: Suasana kecoh yang mengejutkan pemilik kediaman di Taman Padri menyelamatkan ayam peliharaannya daripada menjadi mangsa sang batik.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman Leftenan Kamal Bujang, reban ayam yang terletak di belakang rumah diceroboh ular sawa sepanjang lima meter kira-kira tengah malam tadi.
“Selepas dimaklumkan oleh pemilik rumah, sepasukan anggota digegaskan ke lokasi dan sebaik tiba, seekor ular masih berada di dalam reban.
“Anggota kita terus melalukan operasi menangkap ular berkenaan menggunakan penjerut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seperti diakui tuan rumah jelasnya, pada awal kejadian beliau mendengar bunyi bising ayam, lalu memeriksa keadaan di luar.
“Cemas melihat ular yang besar berada di dalam reban ayam, beliau terus menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sri Aman untuk bantuan,” ujarnya.
Tambah Kamal, ular berkenaan tidak sempat memakan ayam-ayam yang berada di dalam reban.