Ular sawa ‘tewas’ di Kampung Sourabaya Hilir

KUCHING: Anggota Pertahanan Awam Malaysia Kuching berjaya menangkap seekor ular sawa di sebuah rumah Kampung Sourabaya Hilir pagi tadi.

Ular bersaiz satu meter itu ditemui oleh penghuni rumah berkenaan, Mohd Azhar Marshal, 53, ketika hendak keluar rumah kira-kira jam 9 pagi.

Bimbang ular tersebut bertindak ganas, isterinya segera menghubungi APM sebelum anggotanya berjaya menangkap binatang yang sedang dalam keadaan kekenyangan.

Saksi kejadian, Haziq Azhar berkata, terdapat benjolan besar di bahagian badan reptilia itu menyebabkannya lemah dan tidak melawan ketika ditangkap APM.

Jelasnya, kemungkinan ular terbabit telah membaham anjing berikutan bunyi anjing menyalak begitu kuat malam sebelum kejadian.

“Bapa saya menjumpai ular tersebut seolah-olah tersangkut di kawasan belukar berhampiran rumah ketika hendak keluar menuju kereta.

“Ketika ditemui, binatang itu kelihatan lemah dan tidak bermaya kemungkinan kenyang selepas menelan mangsanya di kawasan berdekatan,” jelasnya ketika dihubungi pihak media petang tadi.

Dalam pada itu, menurut kenyataan APM, ular tersebut kini berada di pejabat APM Kuching bagi tindakan lanjut dilakukan.

APM kuching berjaya menangkap ular bersaiz 1 meter di kawasan belukar berhampiran rumah penduduk Kampung Sourabaya Hilir

Suara Sarawak