Ular tedung selar 15 kaki masuk bilik tidur

MIRI: Budak perempuan berusia 12 tahun menjerit ketakutan, terjumpa seekor ular tedung selar sepanjang lima meter (15 kaki) di dalam bilik tidurnya di sebuah rumah di Jalan Bakam di sini, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri, Kapten (PA) Usman Harto berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.54 petang daripada orang awam.

Menurutnya, sepasukan dengan kekuatan tiga anggota diketuai Sjn (PA) Bohari Abdullah diarahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

“Kata pengadu lelaki yang berusia 75 tahun, dia menyedari kehadiran ular tersebut apabila terdengar suara cucu perempuannya yang berumur 12 tahun yang baru balik dari sekolah.

“Cucu pengadu mendakwa terdengar bunyi orang sedang tidur di biliknya sebelum ternampak ular tersebut di belakang almari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Usman memberitahu, atas faktor keselamatan keluarga, pengadu terus menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan menangkap ular tersebut.

“APM kemudian menemui seekor ular jenis ular tedung selar sebesar paha lelaki dewasa dengan panjang lima meter lebih dan anggaran berat ular tersebut dalam 10 kilogram.

“Ular tersebut berjaya ditangkap dalam masa lebih kurang 15 minit menggunakan peralatan khas,” ujar beliau.

Suara Sarawak