KUALA LUMPUR: Peminat sastera kini boleh menikmati karya penyair terkemuka Peru Cesar Vallejo yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Antologi puisi bertajuk “Berbicara Tentang Harapan” atau dalam bahasa Sepanyol “Voy a hablar de la esperanza” dalam bahasa Sepanyol itu dilancarkan oleh Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya dengan kerjasama kedutaan Peru di sini pada Selasa.
Menurut Duta Peru ke Malaysia, Brunei dan Kemboja, Ricardo Estanislao Morote Canales karya Vallejo yang mengangkat tema keadilan sosial, kasih sayang dan kehidupan manusia, terus menambat hati dan memberi inspirasi kepada pembaca dan penulis di seluruh dunia.
Vallejo meninggal dunia pada 1938 ketika berusia 46 tahun, namun karyanya meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam dunia kesusasteraan dengan gaya penyampaian yang unik dan penuh teka-teki.
Tokoh terkemuka dalam bidang kesusasteraan mendiang Martin Seymour-Smith pernah memuji Vallejo sebagai “penyair abad ke-20 yang terhebat”.
Sementara itu, Pro-Canselor Univerisit Malaya (UM) Toh Puan Dr Aishah Ong berkata antologi itu memuatkan karya-karya paling terkenal Vallejo, mempamerkan dedikasi universiti untuk memupuk pertukaran budaya dan kepelbagaian bahasa.
“Selain aspek sosial dan budaya, peranan penterjemahan dalam menyebarkan ilmu pengetahuan tidak boleh diabaikan. Dalam dunia global yang semakin bersepadu, ilmu pengetahuan tidak boleh terhad kepada satu bahasa atau satu kumpulan masyarakat sahaja,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja mengetengahkan karya agung puisi Sepanyol yang diterjemah ke dalam sastera Melayu tetapi juga menekankan kepentingan memperkasakan Bahasa Melayu dalam terjemahan. – BERNAMA