ARTIKEL

Umar Osman | BERNAMA

Umar jalani latihan berintensiti tinggi di Singapura

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JOHOR BAHRU: Jaguh Asia Tenggara Umar Osman kembali meneruskan latihan di Sekolah Sukan Singapura sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Hangzhou di China, bulan depan.

Pelari berusia 20 tahun dari Johor itu kini menjalani latihan berintensiti tinggi di bawah jurulatih Simon Lau Chin Meng sejak 13 Ogos lepas, dalam usahanya untuk mencapai sasaran masa di bawah 46.00 saat (s) sekali gus layak ke final acara 400 meter (m) lelaki.

“Bagi Sukan Asia di Hangzhou, saya perlu berlari bawah 46.00s kerana rata-rata pesaing saya nanti telah mencatat masa larian 45.00s.

Jadi, kena pastikan dapat capai sasaran untuk bersaing dan layak ke final serta dapat ranking terbaik di Asia.

“Tugas ini bukan mudah, tetapi saya akan cuba buat yang terbaik dan sentiasa fokus supaya tidak hilang momentum,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara 400m yang dilakukannya di Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China dengan 46.09s bagaimanapun berkata, beliau perlu memastikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan supaya dirinya cerdas pada hari pertandingan nanti.

Selain itu, beliau mengakui perlu lebih berhati-hati pada hari pertandingan bagi mengelakkan sebarang kesilapan supaya tidak terkeluar daripada saingan.

“Kecederaan adalah musuh utama atlet.

Jadi untuk mengelakkan kecederaan ini, fokus utama saya sebelum dapat pecahkan rekod adalah menjaga kesihatan dan berada dalam keadaan terbaik untuk bersaing.

“Saya juga kena sentiasa berhati-hati walaupun setakat ini saya tidak pernah lagi mengalaminya (terkeluar daripada saingan),” katanya.

Umar memenangi pingat emas dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA Kemboja pada Mei lepas, selain turut memperbaharui rekod kebangsaan 400m dengan 46.34s sekali gus memadam rekod milik Mohd Zaiful Zainal Abidin (46.41s) yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Asia Junior di Brunei pada 2001.

Beliau sekali lagi mencipta sensasi tersendiri dengan memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China baru-baru ini, dengan catatan masa 46.33s pada peringkat saringan dan 46.09 s ketika saingan separuh akhir ketiga sekali gus layak ke final.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menaiki podium tidak kesampaian selepas menamatkan saingan akhir di tempat ketujuh. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU