ARTIKEL

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

UMNO gerak jentera parti bantu kemenangan calon Kerajaan Perpaduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: UMNO akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato Onn, malam ini.

“UMNO telah menamakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (MT UMNO) selaku Pengarah Pilhan Raya BN DUN Sungai Bakap, Datuk Musa Sheikh Fadzir (Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang) selaku Pengarah Operasi dan Datuk Seri Ahmad Maslan (MT UMNO) selaku Ketua War Room PRK Sungai Ваkap,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pada 12 Jun, bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan, yang akan bertanding pada PRK DUN Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai, sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei, akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros, dengan majoriti 1,563 undi.

Selain itu, Asyraf memaklumkan mesyuarat juga telah bersetuju bahawa Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 21 hingga 24 Ogos 2024.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat MT UMNO turut membincangkan mengenai tanggungjawab UMNO untuk membantu kerajaan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Asyraf berkata usaha itu bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan di 1,345 institusi TVET seluruh negara, dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya.

“UMNO mengucapkan penghargaan kepada Kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG. 

“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran, untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET peningkatan dan pemahiran semula, melalui Majlis TVET Negara yang juga dipelopori dan dipengerusikan oleh Presiden UMNO,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

PERKESO lancar operasi kesan majikan besar-besaran

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) Peringkat Kebangsaan 2024 secara serentak melibatkan 54 pejabat PERKESO di seluruh negara, semalam.

BERITA TERBARU

Empat maut dalam insiden tanah runtuh di Antipolo

MANILA: Kejadian tanah runtuh di bandar Antipolo, timur Manila meragut empat nyawa setakat ini, menurut jurucakap Pejabat Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Bandar Antipolo, Relly Bernardo