Undang-undang mesti ditegakkan

KUCHING: Jemaah menteri mengecam tindakan menyerang Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 1 Februari lalu.

“Tindakan yang kasar tidak melambangkan akhlak yang baik perlu dikecam,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa mesti bertegas dalam menegakkan undang-undang tanpa berkompromi.

“Malaysia merupakan negara yang mengamalkan prinsip peraturan dan menghormati undang-undang.

“Semua pihak dikehendaki mematuhi undang-undang tanpa mengira sesiapapun,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana yang tidak mahu mematuhi undang-undang.

“Kami berharap setiap rakyat mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan,” jelas kenyataan tersebut.

Baru-baru ini, Syed Saddiq mendakwa diserang 200 individu berlagak seperti samseng dalam satu majlis di Ulu Tiram, Johor.

Disebabkan itu, beliau terpaksa menyelamatkan diri dengan melarikan diri menggunakan jalan tikus dan melompat pagar seperti orang bersalah.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang turut mengikut tindakan Syed Saddiq.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu mendedahkan perkara tersebut dalam akaun Instagramnya miliknya.

Menurutnya, kumpulan yang berpakaian hitam itu muncul ketika beliau ingin berkumpul bersama-sama Srikandi dan Bahagian Bersatu.

Suara Sarawak