KUCHING: Klausa undang-undang Kerajaan Sarawak melarang individu tertentu daripada Semenanjung memasuki negeri ini, antara yang mungkin boleh dicabar di mahkamah susulan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membenarkan satu kes mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dicabar di mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata keputusan mahkamah tertinggi di Malaysia itu juga akan memberi kesan kepada banyak lagi klausa dalam undang-undang yang sebelum ini tidak boleh dicabar di mahkamah.
“Kerajaan Sarawak mempunyai klausa undang-undang yang melarang individu tertentu daripada Semenanjung memasuki negeri ini dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah.
“Namun susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, bermakna kes seperti itu kini sudah boleh dicabar di mahkamah,” katanya ketika ditemui pada Program Libat Urus YB Menteri Bersama Masyarakat di sini, hari ini.
Menurutnya, secara bertulis terdapat klausa di dalam undang-undang yang tidak boleh dicabar, namun sebaliknya berlaku apabila Mahkamah Persekutuan baru-baru ini membenarkan satu kes mengikut POCA dicabar di mahkamah.
Wan Junaidi berkata, berdasarkan penelitiannya mendapati kira-kira 60 klausa dalam undang-undang di negara ini tidak boleh dicabar di mahkamah.
Tegasnya, perkara itu perlu difikirkan secara mendalam oleh kerajaan dan usaha perlu dilakukan bagi menanganinya.
Sehubungan itu, Wan Junaidi berkata akan menemui Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 9 Mei ini, bagi membincangkan isu berkenaan, termasuk beberapa isu penting khususnya berhubung klausa dalam undang-undang yang sebelum ini menjadi kuasa mutlak kerajaan.
“Perkara ini amat penting dan boleh memberikan implikasi yang besar terhadap badan eksekutif yang memutuskan klausa di dalam undang-undang terbabit,” katanya.

