Undi 18: Lima anak muda mohon semakan kehakiman terhadap kerajaan Malaysia dan dua yang lain

KUCHING: Lima anak muda Sarawak memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan Undi 18 sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengasas Impak Pemuda Ivan Alexander Ong berkata, mereka mewakili kempen Undi Sarawak telah memfailkan semakan kehakiman tersebut pada 3 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuching, di sini.

“Ia bagi menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan penurunan umur pengundi dari 21 kepada 18 tahun dengan segera kerana tindakan menangguhkannya adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.

“Kita turut memohon deklarasi mahkamah bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021,” katanya pada sidang media Undi Sarawak di sini, hari ini.

Ujarnya, walaupun mengalu-alukan pembaharuan komitmen Kabinet Malaysia bagi melaksanakan had umur mengundi baharu menjelang Julai 2021, namun pihaknya mendapati bahawa masih belum ada pelan tindakan atau garis masa yang ditetapkan.

“Justeru, Undi Sarawak berpendirian teguh bahawa anak muda yang berumur 18 ke 20 tahun berhak untuk mengundi kerana kelewatan pelaksanaannya akan menjejaskan anak muda Sarawak secara langsung.

“Ini memandangkan PRN Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya pada 7 Ogos nanti atau serta-merta sebaik sahaja tempoh darurat ditamatkan,” jelasnya.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 125,000 hingga 135,000 anak muda Sarawak yang berusia 18 hingga 20 tahun akan kehilangan hak sebagai pengundi kali pertama jika ia tidak dilaksanakan.

Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.

Melalui kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik.

Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kelayakan mengundi pada PRU di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuat kuasa Julai itu tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Suara Sarawak