KUCHING: Undi 18 tidak dapat dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak kerana ia hanya melibatkan daftar pemilih pilihan raya yang dikemas kini sehingga 2 November 2021.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia tidak akan dilaksanakan pada pilihan raya negeri pada 18 Disember ini walaupun kerajaan telah mewartakan arahan tersebut.
“Daftar pemilih pilihan raya tersebut telah diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dun Sarawak pada 3 November 2021, selaras dengan Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Keputusan ini adalah berdasarkan proses undang-undang, termasuklah keputusan yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching dan bukan untuk menafikan atau mengenepikan hak serta hasrat para belia yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tegas Ahli Parlimen Santubong itu, tidak berlaku desakan dari mana-mana pihak dalam isu berkenaan.
“Malah Sarawak sememangnya sudah bersedia untuk menerima pengudi-pengundi muda dan berharap isu Undi 18 tidak dipolitikkan,” ujarnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan memberitahu Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 bahawa had kelayakan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan pada 1 Disember 2021 dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Seksyen itu menyatakan pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.