
KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Stampin, Lo Khere Chiang menegaskan bahawa mengundi GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukanlah mengundi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Sebaliknya beliau berkata mengundi GPS adalah mengundi untuk Sarawak.
”Jika anda mengundi Parti Tindakan Demokratik (DAP), anda menyokong parti Semenanjung yang langsung tidak mempedulikan kebajikan rakyat negeri ini.
”Apa yang Sarawak dapat semasa Pakatan Harapan (PH) berkuasa, tiada! Sebaliknya kita semakin teruk dengan banyak projek telah dibatalkan oleh PH. Apakah jawapan DAP Sarawak terhadap perkara ini? Tiada jawapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terbabit menambah, GPS akan menyertai sesiapa sahaja yang menawarkan tawaran terbaik untuk Sarawak.
”DAP telah mengatakan mengundi GPS adalah mengundi UMNO, mengapa mereka begitu bertegas mengatakan hal tersebut?
“Adakah kerana mereka tahu bos mereka pasti tidak akan memberikan tawaran yang lebih baik, mereka tahu bahawa Sarawak di mata bos mereka hanya digunakan untuk membekalkan dana ke Semenanjung?
“Oleh itu mereka mengandaikan GPS akan membentuk kerajaan bersama UMNO?
”Hentikan bermain permainan andaian dan hentikan pengaruh Semenanjung terhadap Sarawak. Marilah bersatu dan kita tidak perlukan pengaruh Semenanjung di sini.
”Jangan percaya janji-janji kosong DAP yang mereka sendiri tiada kuasa menentang ketua mereka. Sehebat mana pun janji mereka, ia tidak boleh dicapai,” katanya.