KUCHING: Undian maut yang diberikan 69 peratus oleh rakan Instagram membawa kepada kematian seorang remaja perempuan selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di MJC, Batu Kawa di sini, malam kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 16 tahun dikatakan meminta undian dalam Instagram yang dimuat naik pada jam 3 petang semalam dengan status ‘Really Important, Help Me Choose D/L yang maksud – sangat punting, bantu saya untuk pilih hidup atau mati

Selepas itu, 69 peratus rakan Instagram memilih D manakala 31 peratus lagi memilih L

Rentetan sokongan lebih banyak untuk bunuh diri, remaja berkenaan nekad mencabut nyawa dengan terjun dari kediamannya di tingkat tiga.

Selain itu, mangsa juga memuat turun status di Facebook – saya sudah letih hidup dan mahu mati – Wanna Quit Life I’m Tired.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan yang mengesahkan kejadian itu berkata, tragedi itu disedari adik lelaki mangsa pada jam 8 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka selepas makan bersama ibunya.

Ketika melalui tepi bangunan, dia ternampak sudah mangsa terlentang di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah.

Bagaimanapun, Aidil berkata tindakan mangsa membunuh diri dipercayai kerana kecewa dengan bapa tiri yang bekerja di Singapura jarang pulang ke Kuching selepas berkahwin dengan wanita warga Vietnam.

“Kami menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8 malam daripada seorang lelaki yang datang ke balai berhampiran.

“Pengadu memaklumkan ada seorang remaja tidak dikenali terjun dari bangunan dan berlumuran darah,” katanya.

Menurut Aidil, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Katanya, tiada unsur jenayah dikesan di lokasi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.