ARTIKEL

Unggul di pentas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SAYA telah mengikuti gaya penyampaian Premier Sarawak ketika menyampaikan ucapan di hadapan khalayak untuk puluhan tahun sejak beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Satok pada 1981 lagi.  

Sejak menjadi Premier pada 2017, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerap kali diundang untuk muncul dalam program bual bicara TV atau dialog awam serta menyampaikan ucapan di pelbagai platform baik di peringkat negeri mahupun global.

Kekerapan beliau menyampaikan ucapan semakin kerap sejak menjadi Premier.

Cakupan tajuk dan isu pelbagai, sesuai dengan penganjur dan tema majlis berkenaan, serta sasarannya.

Pelbagai moderator terkemuka tanah air telah mewawancara beliau termasuk Nazri Kahar dan Aswad Ismail dari Astro Awani, Kelvin Ong dalam Money Matters dari TV3 dan Sayed Munawar Mustar di TV1.

Sesiapa yang pernah mengikuti beliau berbicara di kaca TV atau di pentas ketika menyampaikan ucapan atau tampil dalam dialog awam, pasti sedar akan peningkatan ketara kualiti persembahan beliau. 

Abang Johari yang telah menerajui Sarawak sejak tujuh tahun lalu sebenarnya memiliki kehadiran pentas yang kuat.

Ini mencakupi penampilan fizikal, bahasa tubuh yang mendukung dan ekspresi wajah yang sesuai dengan informasi dan mesej yang disampaikan.

Singkatnya, dengan gandingan elemen etos, logos dan pathos, beliau dengan mudah berjaya memikat khalayak. 

 Tidak diragui pemimpin lulusan Universiti Brunel, London itu memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam tentang isu dan tajuk yang disampaikannya termasuk ekonomi digital, serta tenaga hijau dan dapat diperbaharui.

Beliau mampu memberikan maklumat yang relevan, mendalam dan tepat. Inilah yang disebut sebagai logos dalam ilmu retorik.

 Pemimpin politik yang disifatkan oleh penganalisis politik tanah air sebagai karismatik, pragmatik, berpandangan jauh dan transformatif itu mampu menyajikan pemikiran, jalur hujah dan argumentasi dengan jelas dan terstruktur.

Abang Johari berupaya menghubungkan ideaideanya dengan baik, membuatnya mudah difahami oleh audiens dan rakyat terbanyak.

Sebagai peneliti dan pengkaji retorik untuk puluhan tahun khususnya ketika mengajar komunikasi politik di Universiti Malaysia Sarawak, saya perhatikan, beliau sedar akan kesan kuat dan fungsi logos.

 Itulah sebabnya dalam dialog awam selama hampir dua jam yang disiarkan secara langsung melalui TVS pada malam Sabtu, 13 Januari lalu, sempena ulang tahun ketujuh kepimpinannya sebagai Premier, Abang Johari dengan penuh sedar telah memanfaatkan anekdot, ilustrasi, contoh, statistik dan beberapa elemen logos lain untuk mendukung hujahnya.

Kemampuan berbicara yang baik sangat penting. 

Rakan-rakan saya di Semenanjung menyatakan Bapa Inovasi dan Transformasi Sarawak ini dapat menyampaikan buah fikirannya dengan jelas, terstruktur, dan menarik.

Kemampuan beliau berbuat demikian adalah kerana asuhan dan latihan 40 tahun lebih dalam politik yang telah menyaksikan beliau muncul di pelbagai pentas untuk ribuan kali. 

Saya tidak ada statistik berapa kali beliau telah menyampaikan ucapan sejak menjadi Premier.

Di Amerika Syarikat misalnya, akan ada rekod jumlah jam dan kekerapan Presiden memberi ucapan.

Beliau juga berbicara dengan penuh percaya diri.

Keyakinan ialah asas utama yang memperkuat kesan dan keberkesanan ketika menyampaikan ucapan atau tampil di dialog awam dan bual bicara. 

Pandangan yang disampaikan dengan keyakinan cenderung lebih meyakinkan dan mempengaruhi pendengar.

Keyakinan mencipta daya tarikan dan kredibiliti, menjadikan pesan lebih mudah diterima.

Keyakinan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menyampaikan informasi dan mesej dengan impak yang lebih besar, membuka pintu untuk pemahaman, inspirasi, dan transformasi.  

Ketika beliau memancarkan keyakinan, Abang Johari sebenarnya memancarkan aura positif yang memikat dan menambat pendengar.

Keyakinan menelusuri setiap perkataan dan gerakan, menggambarkan kepercayaan diri yang menginspirasi orang lain.

Perhatikan bahasa badan beliau ketika menegaskan sesuatu perkata, khususnya ketika menekankan isu politik semasa berkaitan dengan Langkah Dubai.

 Bahasa badan yang efektif ialah elemen kunci dalam komunikasi yang berkesan.

Pergerakan tangan, ekspresi wajah, dan postur tubuh memberikan dimensi tambahan pada makna kata-kata dan wacana yang disampaikannya.

Bahasa badan yang tepat yang dipamerkan dapat memperkuat informasi dan mesej yang memperkaya komunikasi dengan nuansa emosional dan membantu menghindari kekeliruan. 

Ekspresi wajah dan gerakan tubuh yang sesuai jelas dapat meningkatkan daya tarik etos, dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin politik yang tersohor dan berada di garis depan di negara ini ketika ini.

Lebih daripada sekadar katakata dan ungkapan, bahasa badan mencipta hubungan emosional yang mendalam, memudahkan pemahaman, menegaskan mesej serta membangun kepercayaan. 

Oleh itu, penggunaan bahasa badan yang efektif yang diperlihatkan oleh beliau telah memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej dengan impak yang lebih besar dan memperkukuh hubungan interpersonal.

Malah, beliau sempat bercanda dan berjenaka termasuk ketika menyentuh isu berkenaan.

Humor ialah elemen penting dalam ucapan atau ketika menjadi panel dalam bual bicara kerana ia mampu menciptakan ikatan emosional dengan audiens, melegakan ketegangan, dan memenangi simpati.

Kehadiran unsur kecindan atau jenaka membuat suasana bual bicara atau dialog awam lebih santai, membuka pintu untuk pemahaman yang lebih baik, dan meningkatkan daya tarik beliau sebagai pemimpin dan pembicara.

Humor juga memudahkan penyampaian maklumat yang kompleks dengan cara yang lebih mudah dicerna, memastikan pesan yang disampaikan diingati dengan lebih baik. 

Selain itu, tawa menghasilkan hormon endorfin yang meningkatkan suasana hati, menciptakan pengalaman yang positif.

Dengan memanfaatkan humor dengan bijak, Abang Johari dapat mencapai keseimbangan yang sempurna antara ketegangan dengan keceriaan, menjadikan ucapan dan wacananya lebih efektif dan membekas dalam ingatan khalayak dan rakyat Yang pasti, beliau mampu menanggapi pertanyaan daripada moderator atau audiens dengan tepat.

Respons yang baik terhadap soalan moderator terbilang — Sayed Munawar Mustar, Profesor Datuk Dr Sivamurugam Pandian dan Mona Abdul Manap mencakupi pemberian jawapan yang jelas dan relevan, tanpa menghindar termasuk menyentuh isu kompleks dan sensitif.

Disedari atau tidak, Premier mampu menciptakan hubungan dan ikatan emosional dengan audiens sehingga meninggalkan dampak yang lebih besar.

Situasi dalam bual bicara hakikatnya berubah-ubah.

Beliau memiliki kemampuan untuk beradaptasi dengan pantas terhadap perubahan isu atau topik, pertanyaan tidak terduga atau situasi yang mungkin muncul.

Kemampuan untuk memahami dan meresapi perasaan orang lain membantu dalam menyampaikan pesan dengan lebih persuasif. Inilah yang dikatakan pathos dalam retorik, dan pathos amat penting dalam komunikasi politik.

Kemunculan beliau dalam dialog awam di TVS itu membuktikan Abang Johari telah pergi jauh dan melangkaui sempadan komunikasi politik baharu sebagai pembicara dan ahli politik.

Ini semua berlaku di sebalik kejayaan beliau melaksanakan lebih 120 inisiatif dan dasar berimpak tinggi serta keupayaannya menjana dan meningkatkan hasil dan pendapatan Sarawak sehingga mencecah rekod baharu sebanyak RM13.3 bilion pada tahun 2023.

 Beliau mampu memikat khalayak dan rakyat dengan kedalaman pengetahuannya, kepintaran berbicara dan keupayaan menjentik hati mereka dengan jenaka dan teknik ucapan yang lain.  

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU