Trending

Unifor terjemah makna kebersamaan, keterangkuman

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan), Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof melihat rakaman gambar mereka semasa melawat Lebuh Raya Pan Borneo, ketika melawat gerai pameran Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini.

KUCHING: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) adalah salah satu tindakan yang konkrit dan nyata dalam menterjemahkan makna kebersamaan dan keterangkuman oleh Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan kepada penganut-penganut agama bukan Islam melalui Unifor atas dasar agama-agama bukan Islam juga memerlukan pembelaan dan kepedulian kerajaan.

“Sejak mula diperkenalkan pada 2017, Unifor telah menyediakan peruntukan sebanyak RM215 juta untuk membina atau membaiki rumah-rumah ibadah bagi agama-agama bukan Islam, RM30 juta untuk sekolah mubaligh dan RM10 juta untuk tujuan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini.

Selain itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk membina bangunan Unifor di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching supaya pentadbiran Unifor lebih tersusun dan pelaksanaan aktiviti keagamaan di bawah Unifor lebih teratur.

“Saya yakin dan percaya kebersamaan dari segi pembangunan agama antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Sarawak akan melahirkan masyarakat yang mesra antara satu sama lain dan menghindarkan prasangka yang boleh mendatangkan perpecahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Piagam Madinah di zaman Rasulullah menjadi panduannya dalam mentadbir negeri ini kerana amat sesuai sekali untuk menjamin pentadbiran yang adil bagi masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di Sarawak seperti yang berlaku ketika pemerintahan Rasulullah.

Sementara, Abang Johari menyifatkan usaha berterusan untuk menyemarakkan semangat kebersamaan melalui Konsep Keluarga Malaysia mencerminkan iltizam Perdana Menteri untuk membawa keterangkuman serta jalinan kemesraan dan suasana muhibah sebagai tonggak untuk membangunkan negara, lebih-lebih lagi dalam suasana yang begitu mencabar pada ketika ini.

“Saya amat berharap semangat kebersamaan dan keterangkuman yang ingin disemai dalam pemikiran dan tingkah laku setiap rakyat Malaysia akan terus membawa kepada persefahaman dan kesepaduan antara rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama, dan juga antara masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak…Bak kata bidalan “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru